Khamis, 28 Mei 2009

PeKOMIK Day at Read Malaysia, Mines Convention Centre


PeKOMIK DaY @ Read Malaysia, Mines Convention Centre
30 may - 7 June 2009

setakat ni aktiviti pada:

Sabtu, 30 Mei 2009:
demo melukis digital, melukis komik/inking, persembahan bersama zamzami, azhar, Syem dan Alifstyle

Mdec Digital Comic Pitch talk: IPCC 2009

Ahad, 31 mei 2009:
bersama Prem, Gundu, Daily MMS Comic, pertandingan Adiwira malaysia dan Bersama Panel Komik-M.

Sabtu, 6 Jun 2009:
demo melukis digital, melukis komik/inking, persembahan bersama zamzami, prem , jaafar Taib

Ahad, 7 Jun 2009:
demo melukis digital, melukis komik/inking, persembahan bersama Kromosom, Azhar, Ah Liow, totoro, Gemapak Starz

harap maklum.

saya memohon maaf atas segala kekurangan dari PeKOMIK

Jumaat, 22 Mei 2009

Mengenai Daily MMS Comic Gundu & PeKOMIK

hanya eksklusif utk ahli PeKOMIk..

kalu belum jadi ahli dan berminat buat komik..

jadi je ahli dan buat komik mms ni..
kerna ini inisiatif Tabung PeKOMIK.
5% masuk ke tabung PeKOMIK.
30% pada pengkarya
35% Gundu dan teknikal etc
30% telco

utk 23 jun adalah koleksi archi komik mms nih...tak kesah padi pengkarya nak submit berapa..janji ada 25 mms dalam archive gundu..

so..

mereka yg subsribe daily mms comic nih...automatic pihak telco/gundu akan sms setiap hari satu mms komik randomly...

komik mms ni based on first batch komik mms dari ahli pekomik pd 23 jun ini.

Selasa, 19 Mei 2009

PeKOMIK Day at Read Malaysia, Mines Convention Centre

salam semua

ini agak last minit conformation dari pihak Mines utk menjemput peKOMIK buat event di sana.

PeKOMIK DAY, Read Malaysia, Mines Convention Centre
29 mei- 7 jun 2009

hanya pameran Anugerah pekOMIk dan Pameran peKOMIK (pameran karya komik) dapat di lakukan
pameran komik terpanjang mungkin tak dapat di lakukan..tetapi kita akan sambung untuk menyiapkan 'banner komik terpanjang'.

pada ahli PeKOMIk yg berminat nak pamerkan karya komik anda atau berminat nak jual/promo komik/komik zine atau membuat demo sila email:
azharmaa@ gmail.com

akan update lagi akan aktiviti peKOMIK di Read Malaysia.

Juga pada ahli PeKOMIK yg berminat untuk buat komik daily mms sila email:
wismilak_di@yahoo.com

Khamis, 7 Mei 2009

Mesyuarat PeKOMIK 9 may 2009

Mesyuarat PeKOMIK

tarikh: Sabtu, 9 may 2009
masa: 2:00 - 5:00pm
tempat: Mdec Incubation Centre, Tingkat 3, Blok 1B,
Plaza Sentral, Kuala Lumpur ( sebelah KL Sentral)

Agenda:
1-Post Mortem PeKOMIKON & Anugerah PeKOMIK 2009
: media, PR, kekeurangan ajk, sponsorship, persembahan, AP09 dll

2- PeKOMIK day @ Read Malaysia, Mines Convention Centre
- 400m banner comic, pameran PeKOMIK

3- ACGC @ HELP Institue

4- Antologi PeKOMIK

5- Peraduan Merekacipta Adiwira Malaysia & Gundu 'Daily Comic MMS'

6- PeKOMIK membership, website, future plans

kehadiran anda semua amat dihargai bagi membantu PeKOMIK dan memeriahkan persada Komik Malaysia.

terima Kasih

Rabu, 6 Mei 2009

Kartun dan komik tempatan wujud sejak sebelum merdeka

Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009

Sejarah kartun dan komik di Malaysia dikatakan bermula sejak zaman sebelum merdeka.

Kewujudan pertama kartun dan komik di negara ini disiarkan di dalam dua akhbar iaitu Warta
Ahad sekitar Mei 1936 dan Warta Jenaka pada September 1936.

Sejak itu, kartun dan komik semakin berkembang dan melahirkan ramai kartunis hebat termasuk Raja Hamzah, K. Bali, Osman Kangkong, Mohd. Sallehuddin, Halim Teh, Yusuf Sharif dan Hashim Awang.

Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (Pekomik), Muhd. Azhar Abdullah berkata, pada tahun 1950-an pula, terbitan Utusan Zaman menghasilkan kartun dan komik Wak Ketuk yang popular ketika itu.

"Pada zaman berkenaan, kartun dan komik disiarkan dalam cerita politik dan berkaitan kehidupan masyarakat tempatan," katanya ketika dihubungi Mega baru-baru ini.

Beliau berkata, komik adalah medium yang digunakan sebagai bahasa komunikasi visual bagi menarik perhatian pembaca. Ia lebih ringkas, banyak gambar dan mudah difahami," katanya.
Muhd. Azahar memberitahu, penerimaan kepada komik dapat dilihat melalui kewujudan Pekomik.

Katanya, Pekomik penting bagi memenuhi kehendak golongan karyawan atau penggiat komik dan peminat tempatan yang kian bertambah.

"Dengan Pekomik, golongan ini akan mendapat faedah sepenuhnya daripada usaha dan minat tinggi mereka terhadap komik.

"Pekomik juga bertujuan mengembangkan dan memartabatkan dunia komik negara melalui penganjuran pelbagai program serta aktiviti termasuk Anugerah Pekomik," katanya.

Komik mempunyai 1001 kebaikan dan keunikan tersendiri

Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009


Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Bagi kartunis terkemuka tempatan, Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, 44, komik mempunyai 1001 kebaikan dan keunikan tersendiri.

Maka tidak hairanlah penggemar komik wujud di seluruh dunia dengan jumlah jutaan orang.
Di negara ini sahaja penggemarnya berjumlah ratusan ribu.
Ujang berkata, komik terbahagi kepada pelbagai jenis dan antara yang popular adalah Selapstik serta Editorial.

Katanya, jenis Selapstik adalah kartun yang tidak mempunyai dialog seperti Tom and Jerry dan Editorial pula seperti kartun Lat.

"Komik diminati kerana ia seni visual iaitu mudah difahami dan lebih ringkas.

"Bahan bacaan ini mempunyai banyak kesan baik antaranya, menenangkan ketegangan perasaan dan pemikiran, membantu pembaca lebih cepat mendalami cerita, menceriakan, murah serta dapat mengisi masa lapang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, katanya komik biasanya bukan sahaja mengandungi cerita atau karikatur menarik yang ringkas, tetapi juga iklan, fakta mengenai sesuatu produk atau perkara penting, peraduan dan pelbagai isu berkaitan kehidupan masyarakat.

Tambahnya, walaupun komik diakui mampu membuatkan individu ketagih mengikutinya dan bersikap negatif apabila membabitkan jenis peperangan atau lucah, ia dapat dielakkan dengan mengawal pembacaannya.

Menurut Ujang, pada awal penerbitan komik di negara ini iaitu sekitar tahun 80-an, ia sukar diterima secara meluas kerana ramai ibu bapa yang menganggap komik memberi unsur negatif dan mempengaruhi pemikiran anak mereka.

Namun pada tahun 90-an pasarannya semakin baik kerana masyarakat mulai sedar kebanyakan komik mengajar pembacanya menanam sifat murni dan memberi kebaikan tambahan lain melalui ilustrasi atau visual.

"Penerimaan terhadap komik semakin dapat dilihat apabila kerajaan menubuhkan Sekolah Seni Johor Bahru di Johor dan Sekolah Seni Kuching di Sarawak bagi membantu individu mendalami seni visual dan lukisan.

"Penubuhan sekolah ini membantu menyediakan pelapis dalam bidang penghasilan seni visual dan lukisan termasuk untuk komik," katanya.
Sementara itu, jelasnya, sekitar tahun 1995 hingga 2000, komik tempatan mampu dijual lebih 400,000 naskah sebulan yang memberi pulangan ratusan ribu ringgit kepada pengeluar dan kartunisnya.

Ditambah hasil pendapatan iklan yang dipaparkan di dalam komik, ia membuatkan penghasilnya hidup senang. Bagaimanapun Ujang berkata, selepas tahun berkenaan, jualannya semakin menurun akibat faktor lambakan komik dari negara luar dan kemudahan membacanya di internet.

"Pembaca tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana dengan strategi yang diambil syarikat luar untuk membukukan rancangan kartun popular sebagai komik, mereka pasti terpengaruh.

Ada pula pembaca yang tidak sedar komik yang diikuti adalah komik luar," tambahnya.

Ujang yang sudah berkecimpung sebagai pelukis komik hampir 30 tahun, berkata, kerajaan perlu lebih prihatin dan harus mengambil langkah berkesan untuk membantu kira-kira 2,000 pelukis komik dan animasi tempatan supaya mampu terus menjual karya.

Komik boleh diibaratkan ubat

Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009

KOMIK dianggap ‘ubat’ yang berkesan bagi mengurangkan ketegangan pemikiran dan perasaan seseorang.

Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mariani Md. Nor berkata, antara lumrah manusia adalah lebih gemar melihat objek berbanding tulisan.

Beliau berkata, setiap individu tidak kira bayi, kanak-kanak, remaja atau dewasa lebih berminat untuk mengetahui sesuatu maklumat jika ia dipaparkan melalui gambar atau tulisan yang diselitkan lukisan berbanding tulisan sepenuhnya.

“Dengan ini, komik adalah bacaan yang dapat menarik minat seseorang membacanya kerana dipenuhi gambar dan karikatur.

“Keindahan dan keunikan lukisan serta ciri-ciri tertentu seperti kelucuan yang dipaparkan di dalam komik membantu pembaca menumpukan perhatian dengannya sehingga melupakan sementara masalah dihadapi,” katanya.

Mariani berkata, setiap peringkat usia dalam masyarakat menggemari komik namun biasanya jenis komik yang dibaca berbeza.

“Golongan kanak-kanak biasanya sukakan komik cerita kartun atau siri kartun yang dibukukan seperti Doraemon dan Shin-Chan.

“Remaja lebih gemar membaca komik mengenai alam percintaan manakala dewasa lebih tertarik kepada komik yang menerangkan urusan perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, komik tidak menyumbangkan kesan negatif selagi pembacaannya dikawal.

Menurut Dr. Mariani, komik berbentuk lucah dan ganas perlu dielak bagi memastikan seseorang tidak terdedah dengan nilai negatif.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Jabatan Siswazah Psikologi dan Kaunseling, Kolej Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Noor Azniza Ishak berkata, kebiasaannya penggemar komik terdiri daripada golongan individu yang gemar berimaginasi atau berkhayal.

“Golongan ini juga biasanya tidak banyak bergaul dengan orang lain kerana gemar berkhayal mengenai sesuatu perkara.

“Individu yang gemar berimaginasi untuk menjadi kaya atau pandai akan meminati komik berbentuk pendidikan manakala yang gemarkan aksi kasar seperti pergaduhan dan peperangan lebih tertarik dengan komik kepahlawanan,” katanya.

Menurut Noor Azniza, kesan positif dan negatif daripada komik bergantung kepada jenis yang dibaca.

Segelintir pembaca gemar mencuba apa yang terkandung di dalam komik manakala ada pula yang tidak mengikuti ceritanya,” tambahnya.

Dalam kehidupan ini, jelasnya, individu tidak boleh mengambil sesuatu perkara terlalu serius atau fanatik kerana ia akan menimbulkan kesan negatif.

Pembaca komik mampu bijak dan kreatif


Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009

AHLI akademik menyifatkan komik mampu membantu pembacanya berfikir dengan lebih bijak dan kreatif.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, komik mempunyai banyak kategori dan setiap satu mengandungi kebaikan selagi tidak memaparkan jalan cerita kurang bermoral atau aksi ganas.

"Saya sendiri kerap membeli komik bergambar termasuk berkaitan sejarah untuk pembacaan seorang anak saya yang mengalami masalah autisme iaitu lambat memahami sesuatu cerita atau maklumat.

"Dengan komik ini, anak saya lebih memahami jalan cerita yang dipaparkan dan mengetahui banyak sejarah penting negara," katanya ketika dihubungi Mega, baru-baru ini.

Beliau berkata, golongan pelajar pula boleh membaca komik yang menceritakan mengenai bidang pendidikan seperti Matematik dan Sains supaya lebih mendalami bidang itu.

Menurut Ahmad Atory, individu perlu memandang bahan bacaan itu secara positif dan menggalakkan diri serta keluarga membacanya kerana banyak komik yang dijual di negara ini memaparkan nilai murni dan mesej yang baik kepada pembaca.

"Penggemar komik membabitkan setiap peringkat usia masyarakat dan ia bukan sesuatu yang pelik kerana komik mampu menenangkan pemikiran.

"Ada pelajar genius juga amat gemar membaca komik kerana ia boleh membantu mengurangkan tekanan selepas penat mengulangkaji pelajaran terutama pada minggu peperiksaan," katanya.

Namun dalam soal ini, katanya, individu perlu tahu memilih jenis komik yang dapat mendedahkan mereka dengan ilmu yang baik.

Atory berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau komik yang dibaca anak mereka dan membelikan komik yang bersesuaian dengan usianya supaya tidak terdedah dengan cerita tidak bermoral atau keganasan.

"Individu juga perlu membaca komik pada waktu terluang bagi mengelakkannya ketagih sehingga menjejaskan tanggungjawab lain," tambahnya.

Selain itu, jelasnya, bidang penghasilan komik perlu dikembangkan menjadi sebuah industri yang penting di negara ini.

Tambahnya, bidang itu yang terbukti mempunyai ribuan penggemar setia adalah satu cabang seni penting dan boleh digelar seni pembacaan.

"Ketika ini, penggiat dalam bidang komik termasuk kartunis adalah kurang dan negara perlu memikirkan cara untuk mencari pelapis berkebolehan," katanya.

Pakar Budaya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Abdullah Hassan pula berkata, pembaca komik ada dua kumpulan.

"Ada pembaca yang memilih komik yang dipenuhi perkataan manakala ada pula yang gemarkan komik yang banyak gambar bagi menerangkan jalan cerita di dalamnya.

"Jika ada yang anggap komik negatif, ia salah kerana sama ada positif atau negatif sesebuah bahan bacaan itu, ia bergantung kepada bentuk perkataan atau gambar yang dipaparkan, " kata beliau.

Komik, tambahnya, memudahkan pembaca memahami isi kandungannya kerana dijelaskan secara ringkas melalui tulisan dan gambar jadi tidak hairan sejak puluhan tahun lalu ramai cerdik pandai yang belajar serta menerangkan hasil teori atau ilmu mereka melalui komik.

Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, komik mampu menarik minat individu untuk membaca terutama di kalangan generasi muda.

"Pelbagai jenis komik yang mempunyai kandungan bermutu boleh diperoleh di pasaran dan ia akan membantu pemikiran seseorang dan memberi banyak pengetahuan kepada mereka.

"Lebih baik jika diwujudkan pula komik yang tidak menggunakan bahasa rojak tetapi mengandungi tatabahasa yang tepat," katanya.

Bagi memastikan golongan remaja tidak terdedah dengan paparan berunsur negatif seperti cerita lucah, komik jenis itu perlu dipantau supaya tidak dijual sewenangnya di pasaran.

Komik dan remaja sukar dipisahkan

Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009

"Komik sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya atau 'teman sejati' di waktu kebosanan sehingga sanggup membelinya hampir setiap hari," kata seorang peminat komik, Syela Syiqim Abdullah, 24.

Menceritakan detik atau sebab beliau jatuh cinta dengan komik, Syela berkata, semuanya bermula sejak enam tahun lalu iaitu ketika beliau menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Katanya, suatu hari beliau dan rakan baiknya Raja Intan Dianna Raja Azaham atau lebih dikenali Nana bersiar-siar ke pekan.

"Saya dan Nana ke sebuah kedai buku dan membelek-belek komik yang dijual untuk melihat serba sedikit kandungannya.

"Kami tertarik walaupun baru membaca beberapa helaian serta ringkasan di bahagian belakangnya dan terus membelinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ukay Perdana baru-baru ini.

Syela berkata, selepas membacanya, dia tertarik untuk membeli komik kedua dan seterusnya sehingga mencecah ratusan buah kini. Jelasnya, dia mengumpul dan membeli koleksi komik tempatan dan luar yang menepati citarasanya seperti cerita cinta dan aksi.

"Saya memperuntukkan paling kurang RM50 sebulan untuk membeli satu komik hampir setiap hari. Namun ada kalanya lebih banyak kos perlu dikeluarkan jika saya membeli dua atau tiga buah sekali gus bergantung kepada komik.

"Biasanya selepas pulang dari tempat kerja, saya akan singgah di kedai runcit atau Sungei Wang untuk membeli komik," katanya.

Ketika ditanya apa reaksi keluarga dan rakan-rakan berhubung minatnya kepada komik, Syela berkata, beliau amat bersyukur kerana ibu dan bapanya amat memahami dan ada kala
ibunya sendiri yang akan membelikannya
komik terbaru.

"Abang saya juga ketika remaja gemar mengumpul komik Ujang Ibu bapa kami memahami serta menyokong kerana komik ini akan membuatkan kami banyak menghabiskan masa di rumah untuk membacanya.

"Rakan-rakan juga menerima secara positif minat saya ini kerana ia sesuatu yang baik dan ada juga yang sudah terpengaruh menjadi peminat komik," tambah anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini.

Menurut Syela, kebiasaannya orang menganggap komik hanya pembacaan ringan yang menghiburkan tetapi ia lebih daripada itu.
Katanya, apabila seseorang mula meminati komik, mereka akan terus tertarik dengannya, jadi ia akan memupuk minat membaca yang tinggi.

Walaupun mengakui komik mampu mengkhayalkan dan memerlukan peruntukan tambahan, ia juga menenangkan, mengajar memupuk sifat baik dan mengisi masa lapang yang akan mengelakkan diri daripada gejala lepak atau kegiatan tidak bermoral.

Tambahnya, kelebihan yang ada pada komik sehingga mampu menarik perhatian pembaca adalah keunikan dan keindahan lukisan, teknik serta warna yang digunakan di dalamnya.

"Cerita yang dipaparkan lebih ringkas dan memudahkan pembaca faham serta biasanya ia kena-mengena dengan kehidupan masyarakat atau fantasi yang sering diidamkan individu terutama golongan remaja," kata Syela.