Rabu, 6 Mei 2009

Komik dan remaja sukar dipisahkan

Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009

"Komik sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya atau 'teman sejati' di waktu kebosanan sehingga sanggup membelinya hampir setiap hari," kata seorang peminat komik, Syela Syiqim Abdullah, 24.

Menceritakan detik atau sebab beliau jatuh cinta dengan komik, Syela berkata, semuanya bermula sejak enam tahun lalu iaitu ketika beliau menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Katanya, suatu hari beliau dan rakan baiknya Raja Intan Dianna Raja Azaham atau lebih dikenali Nana bersiar-siar ke pekan.

"Saya dan Nana ke sebuah kedai buku dan membelek-belek komik yang dijual untuk melihat serba sedikit kandungannya.

"Kami tertarik walaupun baru membaca beberapa helaian serta ringkasan di bahagian belakangnya dan terus membelinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ukay Perdana baru-baru ini.

Syela berkata, selepas membacanya, dia tertarik untuk membeli komik kedua dan seterusnya sehingga mencecah ratusan buah kini. Jelasnya, dia mengumpul dan membeli koleksi komik tempatan dan luar yang menepati citarasanya seperti cerita cinta dan aksi.

"Saya memperuntukkan paling kurang RM50 sebulan untuk membeli satu komik hampir setiap hari. Namun ada kalanya lebih banyak kos perlu dikeluarkan jika saya membeli dua atau tiga buah sekali gus bergantung kepada komik.

"Biasanya selepas pulang dari tempat kerja, saya akan singgah di kedai runcit atau Sungei Wang untuk membeli komik," katanya.

Ketika ditanya apa reaksi keluarga dan rakan-rakan berhubung minatnya kepada komik, Syela berkata, beliau amat bersyukur kerana ibu dan bapanya amat memahami dan ada kala
ibunya sendiri yang akan membelikannya
komik terbaru.

"Abang saya juga ketika remaja gemar mengumpul komik Ujang Ibu bapa kami memahami serta menyokong kerana komik ini akan membuatkan kami banyak menghabiskan masa di rumah untuk membacanya.

"Rakan-rakan juga menerima secara positif minat saya ini kerana ia sesuatu yang baik dan ada juga yang sudah terpengaruh menjadi peminat komik," tambah anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini.

Menurut Syela, kebiasaannya orang menganggap komik hanya pembacaan ringan yang menghiburkan tetapi ia lebih daripada itu.
Katanya, apabila seseorang mula meminati komik, mereka akan terus tertarik dengannya, jadi ia akan memupuk minat membaca yang tinggi.

Walaupun mengakui komik mampu mengkhayalkan dan memerlukan peruntukan tambahan, ia juga menenangkan, mengajar memupuk sifat baik dan mengisi masa lapang yang akan mengelakkan diri daripada gejala lepak atau kegiatan tidak bermoral.

Tambahnya, kelebihan yang ada pada komik sehingga mampu menarik perhatian pembaca adalah keunikan dan keindahan lukisan, teknik serta warna yang digunakan di dalamnya.

"Cerita yang dipaparkan lebih ringkas dan memudahkan pembaca faham serta biasanya ia kena-mengena dengan kehidupan masyarakat atau fantasi yang sering diidamkan individu terutama golongan remaja," kata Syela.

Tiada ulasan: