Sabtu, 17 April 2010

ulasan PeKOMIKON & Anugerah PeKOMIK2010 di Berita Harian

Keratan ini di petik dari artikel Berita Harian oleh Diyanah Anuar pada 10 April 2010.

artikel lengkap di sini:
link

Petikan artikel tersebut:

Konvensyen dan Anugerah Pekomik medium sampaikan mesej, tonjol kreativiti

WALAUPUN industri komik dan kartun tempatan boleh dikatakan agak ‘tenggelam’ berbanding pelbagai hiburan berteknologi yang semakin menjadi pilihan masyarakat masa kini, rata-rata penggiat komik tidak berputus asa untuk terus mempertahankan industri berkenaan.

Bermacam-macam aktiviti membabitkan karyawan kartun dan komik sentiasa dianjurkan sebagai ruang bagi penggiat mempersembahkan kreativiti serta menjadi ruang bagi peminat industri ini melihat karya terkini yang dihasilkan kartunis dan artis komik kegemaran mereka. Antara acara yang dianjurkan termasuklah dengan menganjurkan Konvensyen dan Anugerah Pekomik, acara penuh aktiviti yang menghimpunkan penggiat tempatan serta memberi pengiktirafan kepada penggiat komik dan kartun atas bakat dan kreativiti yang disumbangkan dalam industri ini.

Penganjuran acara ini selaras dengan tujuan penubuhan Pekomik (Persatuan Komik Malaysia) yang direalisasikan komuniti penggiat komik tempatan bagi memberi faedah secara menyeluruh bukan saja kepada golongan penggiat tapi juga masyarakat yang menghargai komik tanah air. Selain itu, ia turut bermatlamat untuk memperkembang serta memartabatkan dunia komik Malaysia.

Baru-baru ini, Konvensyen dan Anugerah Pekomik sekali lagi dianjurkan di dewan Kedah dan Johor, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.

Ini adalah kali kedua acara ini dianjurkan untuk tahun ini dan sambutan daripada penerbit, karyawan dan juga peminat komik dan kartun amatlah menggalakkan.
Beberapa panel karyawan yang mempunyai kemahiran dan pencapaian dalam bidang ini juga dijemput khusus untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai masing-masing bersama hadirin yang ada pada hari itu. Kebanyakan panel bercerita mengenai proses kerja dalam bidang komik, kartun dan animasi, memberi panduan untuk mendapatkan peluang dan berjaya dalam bidang ini serta mempersembahkan karya terbaru mereka.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia, Hassan Muthalib misalnya, tampil menceritakan mengenai pembabitan artis komik dan kartunis dalam penerbitan filem animasi. Selain itu, diikuti wakil dari Big Beak Pictures, Azlan Pa’ Wan Cik yang bercakap mengenai apa yang dapat diharapkan daripada industri kreatif ketika ini. Selepas itu, artis komik, Sheldon Goh yang berpengalaman bekerja dengan penerbitan komik antarabangsa pula menerangkan bagaimana beliau memperoleh peluang berkarya dengan penerbitan antarabangsa serta cara kerja yang diamalkan mereka.

Tidak ketinggalan, Pengarang di Gempakstarz, Ayour (Fakhrul Anour Abdullah), dan Ketua Editor Bahagian Komik Gempakstarz, Slaium (Chin Sau Lim), memberikan maklumat mengenai kriteria artis komik yang dicari syarikat penerbitan mereka. Ia secara tidak langsung memberi panduan kepada bakat baru yang bercita-cita untuk menjadikan bidang komik dan kartun sebagai kerjaya.

Sesi yang paling mendapat perhatian sepanjang konvesyen Pekomik ini adalah forum mengenai ‘Hala Tuju Komik Malaysia’ yang diperbincangkan panel undangan iaitu kartunis Ujang (Ibrahim Anon), Ayour, kartunis Sireh (Anuar Hassan), wakil syarikat penerbitan PTS Millennia Sdn Bhd, Wan Zuhairi Wan Zainuddin dan juga Pengarang majalah G3, Apai (Fadzli Zamani).

Acara kemuncak yang dinanti-nanti karyawan, penerbit dan juga peminat pada Konvensyen dan Anugerah Pekomik 2010, pastinya acara penyampaian 16 kategori karya dan karyawan terbaik Anugerah Pekomik yang dapat dijadikan ‘kayu pengukur’ dalam penerbitan karya bermutu bagi karyawan komik dan juga kartun.

Kategori Komik Terbaik Anugerah Pekomik 2010 dimenangi Pac, untuk karyanya TwinX#2, kategori Penulis Terbaik dimenangi John Ho untuk karya Scary Ever After, kategori Siri Komik Kartun Terbaik dimenangi siri Tiga Dara Pingitan sentuhan kartunis Cabai manakala kategori Komik Surat Khabar Terbaik disandang siri Hanya Satu yang dihasilkan Jayaputra.

Konvensyen dan Anugerah Pekomik 2010 dilihat bukan saja membantu mengumpulkan komuniti penggiat industri komik tempatan, pada masa yang sama melalui saluran seperti konvensyen ia dapat membantu menyalurkan pelbagai idea dan cetusan kreatif untuk memastikan industri komik tempatan terus relevan kepada pembaca secara keseluruhannya.

Tiada ulasan: