Kartun pun boleh berdakwah




Muliyadi Mahamod bersama sebahagian daripada buku-buku tulisannya.


SEBUT nama Jaafar Taib, Lat, Cabai, Ujang, Nudin, Zainal Buang Hussein, Rejabhad, Nan, Rossem, Don, Aloy, Rasyid Asmawi, Fatah dan ramai lagi nama yang seangkatan mereka, tentu ada yang sudah tergelak atau kalau tidak pun, tersenyum sendirian.
Ingatan kita sepantas kilat akan terbayang kembali kepada kartun-kartun jenaka, lawak maut dan tidak kering gusi seperti Jungle Joke, Kampung Boy, Aku Budak Minang, Ayop Anak Tulakang, From Taiping With Love, Pendekar Mata Tiga, Tiga Gadis Pingitan, Lagak A. Mahmud dan banyak lagi.
Inilah barisan kartunis popular tanah air yang cukup sinonim dengan kemunculan majalah Gila-Gila pada 1 April 1978.
Gila-Gila melakar pelbagai sejarah penting dalam landskap perkembangan seni lukis kartun dan penerbitan tanah air dengan menjadi perintis, pencetus, penggalak, trend setter, melahirkan tokoh dan kartunis baru dan mengangkat martabat dan kedudukan seni lukis kartun dan komik secara umumnya.
Pensyarah Sejarah dan Kritikan Seni di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Profesor Dr. Muliyadi Mahamod dalam buku tulisannya berjudul Dunia Kartun: Menyingkap Pelbagai Aspek Seni Kartun Dunia dan Tempatan ada menjelaskan dalam salah satu bab di dalam buku ini bahawa Gila-Gila lahir tepat pada waktunya ketika negara ketandusan bahan bacaan berasaskan kartun, komik dan karikatur yang kukuh.
Ia beracuan konsep formal kartun global seperti dalam majalah popular Amerika Syarikat (AS), Mad serta berlatarbelakangkan masyarakat, dunia hiburan dan komik tanah air.
Kata Dr. Muliyadi, penerbitan majalah ini ibarat pemangkin yang mencetuskan semacam kebangkitan kartun Melayu. Apabila Gila-Gila terbit ketika itu, kelihatan kartunis ada ruang untuk menyalurkan hasil karya mereka.
“Selepas itu, kita lihat penerbitan majalah-majalah lain seperti Gelihati, Mat Jenin, Batu Api, Humor, Ujang sehinggalah sekarang telah muncul majalah seperti Gempak, Utopia, Starz, Jom, G3 dan banyak lagi.
“Tahun 1980-an pula dilihat era kecemerlangan kepada dunia kartun Melayu kerana kemunculan lebih banyak penerbitan majalah, pelbagai pameran dan seminar. Kemuncaknya pada tahun 1990 ditubuhkan Persatuan Kartunis Malaysia (Pekartun) dan diikuti International Gathering of Cartoonist, anjuran oleh Datuk Lat dengan Kampung Boy Sdn. Bhd. yang berjaya menghimpunkan para kartunis seluruh dunia seperti Filipina, Perancis, China, Belanda,” katanya kepada Mega, Utusan Malaysia, di pejabatnya, baru-baru ini.
Menurut Dr. Muliyadi, seni lukis kartun mempunyai sejarahnya yang panjang. Bermula daripada lukisan pada gua, wang kulit dan media cetak sehinggalah kepada media digital.
Kata beliau, dalam tahun 30-an kartun banyak menyentuh hal berkaitan semangat kebangsaan Melayu, kritikan terhadap penjajahan, isu kedatangan bangsa dagang, perjuangan kemerdekaan dan menegur orang Melayu.
Selepas merdeka, kartun-kartun adalah berkaitan polisi kerajaan yang mahu menekankan perpaduan bangsa, konsep muhibbah, menunjukkan kesatuan antarabangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain dan ada juga kartun di Utusan Zaman yang fokus kepada isu konfrantasi dengan Indonesia.
“Ini membuktikan kartun sangat berkait dengan perkembangan politik, keadaan ekonomi, sosio-politik negara, pemilikan akhbar, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan penapisan diri sendiri,” jelasnya.
Dalam konteks ini kata Dr. Muliyadi, kartun terus digunakan sebagai ‘senjata’ untuk memperbaiki sikap Melayu.
Selain itu, kartun terus berperanan sebagai senjata mengkritik, menyindir serta mendedahkan pelbagai kepincangan dalam isu-isu setempat dan sejagat.
“Kalau dahulu, selepas merdeka kita melihat kebanyakan akhbar didominasi oleh media arus perdana. Sekarang, kita melihat sudah adanya akhbar-akhbar alternatif.
“Ini mempengaruhi bentuk kartun agar menjadi lebih terbuka. Maksudnya, tidak semua kartun memberi sokongan kepada dasar-dasar kerajaan,” terang Muliyadi kartun bukan hiburan semata-mata.
Menurut beliau lagi, peranan kartun itu memang sentiasa ada dan sentiasa konsisten. Cuma mungkin kita mempunyai banyak pilihan sama ada melihat dalam bentuk yang bagaimana?
Contohnya, kekuatan animasi Upin & Ipin adalah pada unsur hiburan, pengajaran dan unsur jenaka yang dipersembahkan dalam watak-watak yang agak universal. Ia sesuai bukan hanya kepada masyarakat Malaysia tetapi masyarakat global.
Sebenarnya, kata Dr. Muliyadi, kartun-kartun sebelum merdeka di akhbar sudah mencerminkan unsur-unsur dakwah, contohnya mengkritik orang Melayu yang kebaratan.
“Begitu juga dengan kartunis Lat sendiri iaitu pada tahun 2001, beliau membuat siri kartun di Berita Harian bertajuk, Ayuh Ke Masjid’.
“Contohnya mengajak kanak-kanak ke masjid, cara sembahyang dan cara berwuduk. Ini sudah jelas sifat dakwah yang cuba disampaikan oleh Lat. Agak unik juga kerana sebelum ini Lat banyak menghasilkan kartun yang agak simbolik.
“Rossem pula hasilkan kartun Kristian vs Islam, Kartun Lanun, karya Ujang dan kawan-kawannya juga banyak menekankan aspek dakwah yang ketara.
“Begitu juga dengan majalah Ana Muslim dan Sayang Muslim,” kata Dr. Muliyadi.