Selasa, 25 Jun 2013

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN PENGGIAT KOMIK MALAYSIA | EXCO PIMPINAN (PENGGAL 2013-2014)

Teks Ucapan rasmi pasca Mesyuarat Agung Tahunan PeKOMIK Kali ke-4

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN PENGGIAT KOMIK MALAYSIA
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN DAN PEMILIHAN EXCO PIMPINAN (PENGGAL 2013-2014)
BALAI SENI VISUAL NEGARA, KUALA LUMPUR
22 JUN 2013

Yang Dihormati Sidang PeKOMIK,
Para Perwakilan dan Pemerhati,
Pengkarya dan Penerbit,
Semua ahli-ahli, penggiat dan peminat komik Malaysia.

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan Salam Sejahtera.

Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudrat untuk kita terus berkhidmat di atas wahana perjuangan dalam memartabatkan dan memakmurkan arena komik Malaysia, yang kini telah berusia lebih setengah dekad. Alhamdulillah.

2.            Sebagai pertubuhan yang mempunyai tanggungjawab dan komitmen, organisasi kita menjadi pembawa wadah dan pelopor wawasan bukan sahaja buat penggiat tetapi juga seluruh peminat dan pengikut arena komik tanahair, bermula dari penubuhannya pada tahun 2007 hingga ke kala arus kepimpinannya yang mutakhir. Bukan sekadar sebuah pertubuhan berdaftar yang hanya bergerak atas nama komik, namun kita sebenarnya adalah sebagai pembawa obor perubahan menerusi komik itu sendiri. Merintis jalan menuju kecemerlangan dalam pergerakan kita merupakan permulaan perjuangan. Bahkan PeKOMIK jugalah pelopor bagi semangat kesejagatan arena komik di negara ini serta pengisian inklusif untuk semua ahli-ahlinya, tidak mengira latar belakang apa sekalipun. Yang penting adalah semangat dan minat, nyalarasa dan kobar membara untuk menaikkan martabat komik kita ke tahap yang sepatutnya.

3. Di atas landasan kesinambungan ini, saya sentiasa berada di hadapan kelok perubahan zaman. Di kala awal penubuhan PeKOMIK, kita semua telah menggalas amanah sebagai kumpulan yang berani. Sejajar dengan matlamat dan usaha kita yang akhirnya menyumbang ke arah penubuhan PeKOMIK, dan seterusnya pembentukan dan perjalanan kegiatan, aktiviti serta kejayaan-kejayaannya dalam mengatur inisiatif yang telah sedikit-sebanyak mengubah lanskap komik negara. Demi masa dan peralihan zaman yang begitu pesat dan pantas beredar, dan bersesuaian pula dengan konteks model persatuan dan pertubuhan yang mengikut lunas perundangan dan akta berpersatuan negara, kini PeKOMIK telah diberi nafas baru. Penjenamaan semula yang bakal dilaksanakan dan perisian semasa sebagai pertubuhan yang lebih mampan dan proaktif dalam meneraju generasi penggiat komik. Untuk menjuarai suara dan aspirasi perjuangan, PeKOMIK meneruskan prinsip dan cita-cita yang tersebut.

4. Adalah menjadi manifestasi kematangan perjuangan pertubuhan kita apabila Ahli Jawatankuasa Induk baharu telah dipilih secara telus untuk penggal 2013-2014 pada tarikh 22hb. Jun, 2013 bersamaan dengan hari Sabtu di Balai Seni Visual Negara yang lalu. Saranan saya selaku Presiden baru, kita harus kekalkan keseimbangan, kemajuan dan pembangunan pertubuhan. Antara hikmah sejarah dan potensi pembaharuan bukan semata untuk seiring dengan zaman, tetapi juga demi kebaikan PeKOMIK. Justeru, agenda ini menuntut kita untuk sentiasa berubah, agar peranan kita sebagai ahli terus berada di batasan paling mutakhir.

5. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak sampai melayang. Setiap zarah nikmat yang dikecapi tidak ditawarkan mudah, melainkan di atas perancangan rapi dan gerak kerja semua pihak dari pucuk pimpinan, ahli-ahli dan penyokong PeKOMIK. Dengan hasil keringat dan pendekatan kita, hari ini PeKOMIK kian menampakkan keberhasilan perjuanggannya. Justeru, hakikat tidak terkhilaf lagi, suara dan peranan PeKOMIK didengari dan diiktiraf oleh semua ahli-ahlinya. Ucap terima kasih, penghargaan dan rasa hormat saya buat Mantan Presiden, Tuan Azhar Abdullah di atas rekod khidmat cemerlang dan gemilang sepanjang menyandang serta memimpin pertubuhan kita ini ke tahap yang membanggakan sekarang.

6. Lantaran itu, PeKOMIK bersyukur kerana Mantan Presiden Tuan Azhar Abdullah, bukan sahaja seorang yang begitu menjiwai agenda perjuangan dan pertubuhan tetapi juga aspirasi semua ahli-ahlinya. PeKOMIK mengucapkan syabas kepada Mantan Presiden di atas kepimpinan dan inisiatif berterusan yang dilaksanakan selama ini. Syukur kerana beliau dan semua angkatan ahli-ahli jawatankuasa yang bernaung di bawah beliau selama tiga penggal sebelumnya, berkat dan hasil usaha gigih mereka telah menjadi pencetus kepada gelombang sokongan penggiat, pengkarja dan peminat komik kepada PeKOMIK itu sendiri. Semua kejayaan ini timbul kerana agenda kita agenda berketerampilan, perjuangan kita perjuangan bermatlamat. Tanpa syak lagi, PeKOMIK masih lagi relevan di masa-masa akan datang di bawah gagasan ideologi beliau.

Para penggiat komik sekalian,

7. Menyusuri kembali rentetan sejarah PeKOMIK lima tahun lalu, kita telah sedikit-sebanyak berjaya mengubah pemikiran dan tanggapan umum melalui pelbagai idea dan inisiatif dalam PeKOMIK kepada khalayak ramai. Yang telah diangkat menjadi dasar dan tradisi pertubuhan hinggalah ke hari ini. Memegang prinsip perjuangan yang sama, saya mahu PeKOMIK terus membakar semangat sesama ahli-ahlinya ke dalam minda masyarakat, menawarkan kepimpinan konsisten dan fahaman intelektual, disamping kita terus mengukuhkan peranan sebagai ejen pemangkin dan pencetus kreativiti melalui komik kepada masyarakat, agar generasi akan datang terus mendapat manfaatnya.

8. Menjunjung mandat dan tanggungjawab besar sebagai Presiden PeKOMIK yang baru dilantik, saya mohon izin untuk kemukakan beberapa cadangan-cadangan penambahbaikan dan kemaskini untuk satu penggal berikutnya dalam bentuk Manifesto Bersepadu PeKOMIK (2013-2014) yang bakal saya bentangkan dan umumkan dalam masa terdekat ini. Antara isi kandungan manifesto itu adalah:

  • Program pendaftaran semula/pendaftaran baharu ahli-ahli PeKOMIK secara besar-besaran
  • Penstrukturan semula skim, struktur dan format Anugerah PeKOMIK
  • Siri Jelajah, Bengkel, Seminar dan Forum Bulanan PeKOMIK
  • Cadangan penyatuan PeKOMIK dan PEKARTUN
  • Majlis Berbuka Berpuasa dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PeKOMIK
  • Dan lain-lain.

9. Tidak dapat dinafikan, barisan Ahli Jawatankuasa PeKOMIK memainkan peranan penting sebagai pelapis pucuk pimpinan yang ada sebelum ini. Yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di barisan paling hadapan kepimpinanan pada hari ini. Saya berani nyatakan bahawa sebilangan besar daripada mereka telah diacu, dikelok dan diasah dari tampuk kepimpinan PeKOMIK yang telah berkhidmat selama tiga penggal yang lalu.

10. Menelusuri langgam generasi masa sekarang, kita akan menganjurkan dan menggerakkan program-program terkini dan terbaru yang sesuai dengan wadah serta wahana perjuangan PeKOMIK. Bakat-bakat dan individu-individu muda bersahsiah, yang suka bertanya, yang punya visi dan misi tersendiri adalah aset baharu PeKOMIK. Berkonotasi dengan keperibadian seperti ini, mereka bakal menjulang iktikad dan falsafah pertubuhan kita. Hari ini jelas penjenamaan semula PeKOMIK perlu supaya ia lebih proaktif, lebih berkredibiliti dan menjurus kepada keberhasilan dan ‘survival’ pertubuhan.  

11. Mungkin sebelum ini kita berasa janggal atau pesimistik untuk menggerakkan pertubuhan kita yang kaya dengan bakat dan aset-aset tersendiri. Kini melalui gagasan baharu, kita akan mengubah nuansa pendekatan menjadi lebih terbuka, pragmatis dan inklusif untuk merapatkan hubungan dan dan mengukuhkan portfoilio kita di aula generasi baru. Ia merupakan harfiah kita untuk memupuk modal insan yang lebih berkualiti dan berpotensi dalam dan di luar PeKOMIK. Mudah-mudahan jika diizinkan Tuhan, bakat-bakat dan profil-profil baharu ini bakal menjadi pelapis kepimpinan PeKOMIK, lantaran meneruskan kesinambungan legasi untuk generasi pelapis akan datang.

12. Walau lorong perjuangan dan pengorbanan sudah diteroka, kita tidak pernah alpa bahawa perangkaan perjuangan kita memerlukan perancangan yang lebih ampuh. Maka, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan dan Ahli Jawatankuasa baru akan kekal berusaha mengenalpasti bakat-bakat segar dari dalam dan luar organisasi kita ini. Kerana mengesan prospek dan mencari individu berpotensi tinggi dalam lapangan komik di negara ini adalah ibarat mencari bintang-bintang terkemuka yang bakal menyinar dipersada dunia satu hari nanti!

13. Dalam konteks hasrat ini, alang-alang kita berfikrah atas nama latihan dan pendidikan, PeKOMIK sedar bahawa pengisian perlu selari dengan cabaran dan lanskap industri komik dunia masa sekarang. Apa dangkalnya kita mencari seribu bakat dan bakal bintang-bintang hari esok, seandainya hari ini mereka masih diasuh dengan pengisian jumud. Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat 54:

Yang membawa maksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu, Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Pengajaran yang dapat disingkap dalam ayat tersebut, masa muda hanya tiba sekali seumur hidup. Ia satu fasa kehidupan yang cukup penting dalam menjana kepimpinan. Perjalanan masih panjang, destinasi sudah jelas dipandang. Sungguhpun masih banyak yang perlu dipelajari, saya juga akui, rata-rata daripada kita sudah pun bersandar pada landasan yang kukuh dengan kekuatan dan jatidiri sendiri menerusi latar belakang akademik dan profesion masing-masing. Sewaktu umur ini, PeKOMIK adalah dalam situasi terbaik untuk menerokai idea-idea baru, lantas memperbaharui model dan prinsip yang sedia ada sebelum ini. Zaman muda adalah zaman keemasan yang mengurniakan peluang-peluang yang tidak datang sebelum datangnya muda dan ia tidak akan datang lagi selepas perahu muda ini berlalu pergi.

14. Dalam usaha kita untuk mengambil peluang ini, sekaligus menzahirkan sebaik keupayaan kita, kita juga harus sedar bahawa kapasiti kepimpinan setiap insan, pasti berbeza. Tidak dapat tidak, dalam mana-mana usaha kita sekalipun, sudah pasti ramai yang memendam cita-cita mendaki puncak kejayaan. Dalam pendakian ini, janganlah pula kita terlalu ghairah mengejar puncak, sehingga kita alpa dengan asas-asas kesatuan kita bersama. Disamping kita menyumbang keringat berdasarkan kekuatan unik masing-masing, kita juga sedar bahawa ada di antara kita yang sesuai di ketengahkan sebagai penjana asimilasi dan aspirasi mereka yang dahagakan tunjuk-ajar dan panduan. Serasi dengan congakan dan sudut pandang mereka yang mahu karya dan hasil mereka dalam arena komik tempatan mendapat tempat yang sewajarnya.

15. Sebagai ahli PeKOMIK, sememangnya kita berada dalam kedudukan terbaik untuk benar-benar mencerminkan hasrat dan jiwa bakat-bakat dan prospek ini. Kita yang paling dekat dengan dunia komik, kita yang sebati dengan alam seni visual kontemporari moden paling popular di dunia ini. Ramai antara kita memang sudah bersedia untuk memikul cabaran tersebut. Segala apa yang kita usahakan adalah atas dasar kerjasama, tanggungjawab dan cinta kita terhadap komik dan PeKOMIK.

Para penggiat komik sekalian,

16. Kini masanya sudah tiba. Sekarang terbentang di depan mata, tersurat di susuk minda untuk kita berubah. Dengan seiras semangat juang, saya menyeru semua ahli-ahli PeKOMIK yang budiman lagi berbakat besar semuanya: Mari kita sama-sama lakukan yang terbaik demi yang terbaik. Ini ikrar kita, ini janji kita. Kita pastikan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia tahu. Kita pastikan sejarah tercatit dengan kemas di masa hadapan.


“ Semoga PeKOMIK terus maju mara memacu arus komik Malaysia ”


Yang Berkhidmat,
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
Presiden PeKOMIK    
Persatuan Penggiat Komik Malaysia

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memandangkan diwar warkan dalam blog juga, maka dengan ini diharap blog pekomik sentiasa dapat dikemas kini, supaya orang ramai tahu pekomik masih hidup dan aktif. Kalau dapat portal website sendiri lagi Bagus

jika blog pekomik tak dikemaskini, dinasihati ditutup terus supaya tidak memburukan nama pekomik secara tidak langsung...atau pun letak link terus ke facebook.

ini kerana tak semua yang masuk ke blog PEKOMIK ini ialah ahli PEKOMIK yg sentiasa tahu pekomik itu aktif...antaranya adalah orang awam dan penjinak baru, sama ada peminat atau pon pelukis baru yg bukan ahli pekomik.

Sebagai wadah tambahan, rasanya elok PEKOMIK juga menjadi advertiser kepada KOMIK MALAYSIA di luar sana dan bukan mengiklankan diri sendiri. Ini bagi mempromosi bagaimana wajah sebenar KOMIK MALAYSIA sebenarnya.

Agar setiap kali topik komik malaysia diutarakan... baik di laman sesawang di televisyen atau dipaper, mana mana forumer ataupon lebih pelik wartawan malaysia tak mengaitkanya dengan DRAGON BALL yang pelukisnya bukan orang malaysia.

sekian dari yang pandai cakap jer..

gayour berkata...

TAHNIAH dengan pelantikan PRESIDEN PEKOMIK yang baru untuk masa depan komik tanahair kembali gembilang seperti zaman emasnya dahulu!

selamat berjuang!

ruby berkata...

Alhamdulillah dan TAHNIAH kepada pemimpin AJK semua yang terpilih. Semoga anda sentiasa sihat walafiat dan dimurahkan rezeki .Insya Allah
p/s Selamat berkarya dan maju jaya!
AWESOME!