Selasa, 30 Julai 2013

Kemeriahan Iftar Pekomik 2013




Terima kasih kepada semua yang telah menghadiri Majlis Iftar BBQ dan Potluck Berbuka Puasa Pekomik hari ini. Saya mewakili semua residensi ahli-ahli dan angkatan bersama mengucapkan rasa penghargaan dan kesyukuran yang tiada terhingga.


Semoga berjumpa lagi di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada bulan hadapan!



InsyaAllah,

Faizal Mukhtar
PRESIDEN



















Foto & Video: Burhanuddin Ba-C Mente 

Khamis, 25 Julai 2013

Majlis BBQ Berbuka Puasa & Potluck Pekomik 2013






Dengan sukacitanya adalah dimaklumkan bahawa Persatuan Penggiat Komik Malaysia akan mengadakan Majlis Berbuka Puasa pada masa dan tempat seperti yang berikut:


Tarikh: 27 JULAI 2013 (SABTU)

Masa: 6.30 PETANG - 9.00 MALAM
Tempat: NO. 74, JALAN USJ 11/5, UEP SUBANG JAYA, 
47620 PETALING JAYA, SELANGOR DARUL EHSAN



Pakaian: 

Lelaki - Baju Melayu / Bersesuaian 
Perempuan - Baju Kurung / Bersesuaian

Tema Majlis: 
Muhibbah dan Mesra Rakyat

Sehubungan dengan itu, semua ahli-ahli dan angkatan PeKOMIK Malaysia dijemput hadir bagi memeriahkan majlis yang diadakan ini. Kehadiran Tuan/Puan mengimarahkan majlis ini amat dialu-alukan dan didahulukan dengan beribu-ribu penghargaan. Moga dengan kehadiran Tuan/Puan ke BBQ IFTAR & POTLUCK PEKOMIK dapat mengeratkan perhubungan silaturahim antara kita serta mendapat keberkatan Allah SWT.

Terima kasih di atas perhatian anda dan harap maklum.


Yang Benar,
PRESIDEN


* Sila PM Faizal Mukhtar / Adi Nazri / Mizzsuelaiya Saleh untuk pengesahan kedatangan dan pertanyaan lanjut.





Selasa, 9 Julai 2013

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN PENGGIAT KOMIK MALAYSIA | BERSEMPENA RAMADAN 1434H/2013M


30 SYAABAN 1434
9 JULAI 2013

Yang dimuliakan Muslimin dan muslimat,
Semua ahli-ahli, penggiat dan peminat komik Malaysia sekalian.

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan Salam Sejahtera.

Bulan Ramadan berkunjung tiba, setelah setahun lamanya ia menyepi. Kini ia kembali membuka hikmah dan berkatnya kepada kita. Selaut kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana telah memanjangkan umur kita untuk terus berada di bulan yang mulia ini. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Bepuasa dan Menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam yang menganggotai Persatuan Penggiat Komik Malaysia secara khusus.

Selain berpuasa pada bulan Ramadhan, antara tanda kemuliaan bulan Ramadan yang dikurniakan oleh Allah ialah solat Tarawih dan Qiyamullail, Tadarus Al-Quran, memperbanyakkan sedekah, ziqir dan taqarrub, amal-amal kebajikan, umrah dan iktikaf 10 malam terakhir. Dan yang dipilih serta terpilih pasti akan merasai nikmat Lailatul Qadar, malam yang nikmatnya lebih hebat dari 1000 malam.

Segala amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadan akan digandakan sehingga 700 kali ganda. Saya menyeru diri saya sendiri dan semua ahli-ahli PeKOMIK yang beragama Islam untuk memastikan bahawa kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan di sepanjang bulan yang mulia ini. Untuk itu juga, keampunan dan kemaafan saya pohonkan sekiranya ada terdapat kekhilafan, salah dan silap sepanjang saya berada dalam hubungan dengan ahli-ahli di dalam angkatan pertubuhan yang kita sama-sama cintai.

Sempena kita menyambut Ramadhan pada tahun ini juga, marilah kita berazam untuk kembali kepada kehidupan berlandaskan al-Quran, kehidupan beriman, kehidupan roh yang berasaskan taqwa dan amal soleh kebaikan. Mari kita daulatkan Islam dalam segenap sendi kehidupan kita. Puasa adalah satu ibadat wajib yang mesti ditunaikan dengan sepenuh keimanan. Ia merupakan satu rukun dari rukun Islam yang lima.

Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Selamat menyambut Ramadhan dan Selamat Berpuasa.


“ Semoga PeKOMIK terus maju mara memacu arus komik Malaysia ”


Yang Berkhidmat,
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
Presiden PeKOMIK    
Persatuan Penggiat Komik Malaysia