1 SYAWAL 1434
8 OGOS 2013

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang dimuliakan Muslimin dan muslimat. 

Semua ahli-ahli, penggiat dan peminat komik Malaysia sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Aidilfitri.

 

أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ
أكْبَرُ ﭐللهُ وَ ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
وَللهِ ﭐلْحَمْدُ أكْبَرُ ﭐللهُ
كَثِيْرًا لِلّهِ ﭐلْحَمْدُ وَ كَبِيْرًا أكْبَرُ ﭐللهُ
وَ سُبْحَانَ ﭐللهِ بُكْرَة ً وَ أصِيْلا ً
ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
وَ لاَ نَعْبُدُ
ﺇلاَّ ايّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
وَحْدَه ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
صَدَقَ وَعْدَه
وَنََصَرَ عَبْدَه
وَ اَعَزَّ جُنْدَهُ وَ هَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَه
أكْبَرُ ﭐللهُ وَ ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
وَللهِ ﭐلْحَمْدُ أكْبَرُ ﭐللهُ

Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita semua seluruh muslimin dan muslimat telah selesai melaksanakan ibadah puasa selama sebulan dengan menahan rasa lapar, dahaga serta melatih diri dalam menjadi insan yang tawaduk dengan memperbanyakkan muhabasah diri dalam meningkatkan keimanan, keinsafan dan ketakwaan kepada yang Maha Esa.

Justeru itu, dengan tibanya fajar Syawal yang mulia ini, kita semua seluruh umat Islam  seharusnya meraikannya  dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan seperti disifatkan oleh Rasulullah Nabi Junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W

Mudah-mudahan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini benar-benar bermakna kepada kita semua, terutamanya bagi mereka yang dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan sempurna.

Kita patut bersyukur kerana dapat merayakan saat kejayaan ini dalam suasana aman dan damai tanpa adanya peperangan, kelaparan, ketakutan dan kesedihan yang ekstrem. Keadaan ini berbeza sekali dengan nasib sesetengah umat Islam di negara-negara lain yang merayakan Hari Raya ini dalam serba kekurangan. Sesetengah mereka berhari raya dalam ketakutan kerana peperangan. Sesetengahnya pula berhari raya dalam kesedihan kerana kemiskinan atau ditimpa bencana alam.

Alhamdulillah. Suasana ini tidak berlaku di negara kita. Semuanya berhari raya dalam suasana gembira, seronok dan ceria. Tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan berhari raya dalam keadaan ketakutan. Tidak ada rakyat Malaysia yang diberitakan terpaksa mengemis-ngemis untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya. Juga tidak kedengaran rakyat Malaysia yang tidak dapat merayakan hari bertuah ini kerana ketiadaan perbelanjaan dan wang ringgit yang cukup. Boleh dikatakan kebanyakan kita adalah berkemampuan.

Oleh kerana itu, kita patut bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana mengurniakan bumi kita ini dengan segala kemakmuran, kekayaan alam semula jadi dan keamanan penduduknya. Justeru, kita perlu mengekalkan suasana yang sedia ada. Semua ini penting bagi menjamin negara kita terus makmur dan mendapat keredaan Allah S.W.T

Walaupun begitu dalam kemeriahan kita berhari raya, usah kita lupa nasib yang menimpa sesetengah umat Islam di negara lain. Bayangkan betapa sengsaranya hidup mereka dengan kepayahan makanan dan kesulitan sosiopolitik serta ekonomi seperti di negara-negara Asia Barat yang bergolak seperti Mesir, Syria dan Palestin di semenanjung Gaza yang tidak kunjung akhirnya, ketakutan pasca peperangan seperti di Iraq dan Afghanistan, kengerian terhadap bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan gempa bumi di atas ujian yang Allah S.W.T turunkan kepada mereka. Angkara korbannya bukan sedikit. Simpati boleh ditunjukkan namun nasib mereka, hanya mereka yang tahu dan rasai.

Oleh sebab itu, hari ini adalah hari yang paling baik untuk kita menilai prestasi kita dalam menunaikan amanah Allah S.W.T. Amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaik-baiknya. Ini adalah satu amanah yang perlu diperingatkan semula.
 
Marilah kita pertingkatkan keazaman dan ikrar untuk menyusun perancangan strategik dan melaksanakannya bagi meningkatkan maruah dan kredibiliti umat. Matlamatnya, adalah untuk memastikan agar bumi ini terus menjadi bumi yang selamat untuk dihuni.

Umat yang bermaruah adalah umat yang dapat menjulang harga diri. Umat yang mempunyai identiti diri. Cara hidupnya menjadi ikutan dan contoh kepada umat lain. Yang membuatkan umat lain merasa hormat dan segan. Urus tadbirnya adil dan mengasihi sesama manusia. Kebersamaan serta kesatuannya utuh dan teguh.

Justeru, untuk kemakmuran bumi ini kita perlu menjadi peneraju dalam apa saja bidang. Lebih-lebih lagi dalam bidang kreatif yang kita laksanakan ini melalui usaha murni memaparkan moraliti dan unsur-unsur positif pengajaran sesama manusia menerusi karya-karya kita semua. Ini adalah pra-syarat untuk menjadi umat berkredibliti yang bertanggungjawab dan bermaruah dalam meneruskan perjuangan kita sebagai generasi dinamik lagi karismatik.

Lazimnya, umat yang bertanggungjawab dan bermaruah adalah umat yang maju. Untuk merealisasikannya, kita perlu menjadi umat yang maju dalam aspek material dan maju dalam aspek spiritual. Ini boleh dilakukan dengan ikhtiar kita mempertingkatkan penguasaan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan, pelbagai pencapaian dapat dikecapi.
 
Dan demi mencapai matlamat tersebut, PeKOMIK telah merangka kerangka rancangan dan prinsipal-prinsipal tersusun  bagi menggariskan dasar-dasar untuk memantapkan lagi angkatan persatuan. Prinsip-prinsip tersebut akan dilaksanakan peringkat demi peringkat supaya dapat terus memacu semua yang dirancang tadi. 

Akhirul kalam, saya sebagai teras kepimpinan baru persatuan yang kita sayangi ini mewakili semua ahli jawatankuasa yang telah dipilih dan dilantik ingin menyusun sepuluh jari tanda kemaafan dan keampunan di atas segala salah silap dan kekhilafan yang pernah dilakukan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yang lemah itu daripada saya sendiri dan yang sempurna itu hanyalah milik Allah S.W.T, semutlaknya.


Salam 1 Syawal kepada semua umat serta Angkatan, Ahli-ahli gabungan, Penggiat dan Peminat komik seluruh Malaysia dan di seluruh dunia.


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. 










“ Semoga PeKOMIK terus maju mara memacu arus komik Malaysia ”


Yang Berkhidmat,
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
Presiden PeKOMIK    
Persatuan Penggiat Komik Malaysia