Rabu, 1 Januari 2014

PERUTUSAN RASMI TAHUN BARU 2014 | PRESIDEN PERSATUAN PENGGIAT KOMIK MALAYSIA

Teks Ucapan rasmi untuk pekelilingan umum

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN PENGGIAT KOMIK MALAYSIA
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
EXCO PIMPINAN (PENGGAL 2013-2014)
SUBANG JAYA, SELANGOR DARUL EHSAN
1 JANUARI 2014

Yang Dihormati Sidang PeKOMIK,
Pengkarya dan Penerbit, 
Semua Ahli-ahli dan Anggota Jawatankuasa,
Penggiat dan peminat komik Malaysia.

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan Salam Sejahtera.

Kita kini sudah pun memasuki ke sebuah lembaran baharu untuk tahun baharu, 2014. Semua PeKOMIK di seluruh negara bakal menghadapi 365 hari yang mendatang dengan penuh cabar dan debar.

Sepertimana yang rakan-rakan sedia maklum, kita sekali lagi diberikan kesempatan serta ruang untuk terus bernafas dan berjuang di muka bumi Tuhan yang penuh rahmat dan berkat. Syukur alhamdulillah di atas segala kurnia.  

Selama tempoh enam bulan yang lalu semenjak saya dipilih menjadi Presiden kepada pertubuhan yang amat kita cintai ini, pelbagai aktiviti program dan anjuran acara telah PeKOMIK laksanakan dengan tema objektif mendekati semula para penggiat dan meramaikan lagi jumlah ahli-ahli baru dalam persatuan. Program-program yang dijalankan oleh PeKOMIK menyentuh inisiatif-inisiatif bersifat sosial yang menjadi fokus utama plan awal di bawah kempimpinan saya bagi tahun 2013.

Hasil kajian yang telah dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PeKOMIK yang baru bagi perjalanan persatuan beberapa tahun terdahulu, saya telah membuat pendekatan supaya ianya diubah secara menyeluruh dengan unjuran berperingkat. Antara aturan manifesto saya jelas mahu melihat apakah penyelesaian tentang isu berbangkit atau ‘masterplan’ jangka masa panjang yang dapat ditawarkan oleh kesemua ahli-ahli, baik secara online seperti di Facebook ataupun secara bersemuka di majlis-majlis dan acara-acara tertentu.

Comic Fiesta 2013 (21-22hb. Disember), Malaysia Toon Festival 2013 (13-15hb. Disember) dan MMC Merdeka Fest 2013 (31hb. Ogos) merupakan di antara beberapa acara serta program yang telah mendapat keterlibatan secara langsung dan tidak langsung daripada PeKOMIK.

Fokus saya sebagai Presiden setelah menggantikan posisi kepada Mantan Presiden, Tuan Azhar Abdullah adalah berdasarkan keperluan untuk melibatkan, menggerakkan, mengaktifkan dan akhirnya memberi impak kepada ahli-ahli baru yang dirasakan amat berminat dengan persatuan kita ini.

Maka seperti yang sudah sedia maklum, tiada penganjuran Anugerah PeKOMIK bagi tahun 2013.

Penggiat dan peminat di Malaysia mempunyai pelbagai pendapat dan ideologi, persepsi dan tanggapan, kecenderungan serta aktivisme yang melibatkan komik dan kartun. Saya menghormati semuanya. Walaubagaimanapun, apa yang penting adalah kefahaman umum bahawa kita perlu sedar dan sentiasa bekerjasama membina kesatuan dalam persatuan yang lebih baik untuk diri kita dan generasi yang akan datang. Bukan sekadar retorik, kritikan dan memberikan hujah dan bahas kata sahaja sepanjang masa.

Membina dan menyemarakkan persatuan adalah satu usaha yang berterusan. Inilah yang menjadikan persatuan kita ini begitu menarik dan lain dari yang lain. Di kala ini, terdapat banyak peluang untuk semua memainkan peranan dan menyumbang, tidak kira besar atau kecil. Kita boleh mengolah wadah masa depan serta matlamat yang membanggakan dengan menetapkan piawaian  dari segi daya saing, integriti, semangat berpasukan dan kecermelangan berkarya. Tiada had dan sempadan bagi tujuan ini, asalkan semua diantara kita sepakat dan bersemangat.

Saya percaya agenda komik dan kartun serta gerakan PeKOMIK yang diperjuangkan selama ini adalah agen utama bagi merealisasikan kejayaan berterusan di dalam negara dan juga di persada antarabangsa. Ini jelas terbukti kerana ada di kalangan kita yang sudah pun sampai ke tahap itu. Kita hendaklah memupuk semangat kesepakatan yang membudayakan komik ke arah yang lebih positif, menerapkan perbincangan serta perbahasan komik secara ilmiah dan akademikal kerana ini semua adalah paksi-paksi penting ke arah pembangunan yang mantap dan padu untuk PeKOMIK.

Justeru setelah ‘bereksperimen’ selama setengah tahun sejak bulan Jun 2013, maka untuk plan perancangan umum 2014, aktiviti-aktiviti serta program-program AJK dan ahli-ahli di bawah kepimpinan saya akan memberi penumpuan kepada tiga aspek sebagai lanjutan dari piagam kami:

  1. Pendedahan & Peluang : Pembangunan Bakat Baru
  2. Penglibatan & Aktivisme: Pembangunan Komuniti/Sosial
  3. Sokongan & Penajaan: Pembangunan Dana/Kewangan

Dari masa ke semasa pasukan saya, akan mengemaskini segala usaha dan aktiviti berkisar tiga komponen berikut di dalam bahagian-bahagian yang berkenaan ini dan juga di laman Facebook rasmi berkaitan untuk memberi peluang kepada semua ahli-ahli untuk bekerja dengan kami, menolong kami dan berganding bahu dengan kami.

Kami akan memberikan tumpuan kepada ahli-ahli baru dan sedia ada sebagai satu tema bersekali dengan komik dan kartun termasuk animasi dalam usaha menyediakan satu kerangka aktiviti yang kukuh sepanjang tahun 2014.

Kepada seluruh dan semua ahli-ahli dan Jawatankuasa PeKOMIK Malaysia, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih kepada anda. Saya berharap anda dapat menyokong kami dengan mengambil bahagian dalam acara, aktiviti dan inisiatif anjuran kami secara konsisten. Ini adalah medan bagi anda bersatu dan menyerlah. Oleh itu semakin giat penyertaan anda, semakin baik reputasi dan portfolio persatuan kita di mata masyarakat.

Saya mengalu-alukan semua cadangan, pendapat dan saranan. Sila tawarkan khidmat dan bantu kita untuk penambahbaikan. Maklum balas konstruktif amat dihargai dan akan sentiasa diterima.

Oleh yang demikian, saya akan dan telah membawa PeKOMIK ke arah ‘solution-based effort’ yang mementingkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mengkritik dan mendesak tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan sendiri.

Pencapaian kita adalah pencapaian anda semua. Kejayaan kita adalah kejayaan anda semua. Memang benar, akan terlihat dan tergambar corak kepimpinan sekarang yang berbeza dengan kepimpinan terdahulu. Namun saya berpendapat dan percaya, kita harus rasional untuk relevan.

InsyaAllah. Sekiranya kita sama-sama berjuang dan bersepakat serta bersemangat untuk bersatu, kita pasti dapat membawa lebih banyak lagi idea, penyelesaian dan kejayaan  untuk PeKOMIK.

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bagai aur dengan tebing, umpama isi dengan kuku. Genggam bara api biar sampai jadi abu.”

Saya, MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR, Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia ingin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru bagi tahun masihi 2014. Semoga segala yang kita hajatkan dan usahakan akan terus menemui punca serta teras kejayaan. Didoakan semua dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan kekuatan berpanjangan untuk terus berkarya serta bangun dan bangkit menjadi PeKOMIK yang berjaya dengan usaha masing-masing untuk hari ini, esok dan selama-lamanya.   


“ Semoga PeKOMIK terus maju mara memacu arus komik Malaysia ”


Yang Berkhidmat,
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
Presiden PeKOMIK    
Persatuan Penggiat Komik Malaysia



Tiada ulasan: