Sumber dari http://www.utusan.com.my
ARKIB : 05/05/2009
Sejarah kartun dan komik di Malaysia dikatakan bermula sejak zaman sebelum merdeka.
Kewujudan pertama kartun dan komik di negara ini disiarkan di dalam dua akhbar iaitu Warta
Ahad sekitar Mei 1936 dan Warta Jenaka pada September 1936.
Sejak itu, kartun dan komik semakin berkembang dan melahirkan ramai kartunis hebat termasuk Raja Hamzah, K. Bali, Osman Kangkong, Mohd. Sallehuddin, Halim Teh, Yusuf Sharif dan Hashim Awang.
Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (Pekomik), Muhd. Azhar Abdullah berkata, pada tahun 1950-an pula, terbitan Utusan Zaman menghasilkan kartun dan komik Wak Ketuk yang popular ketika itu.
"Pada zaman berkenaan, kartun dan komik disiarkan dalam cerita politik dan berkaitan kehidupan masyarakat tempatan," katanya ketika dihubungi Mega baru-baru ini.
Beliau berkata, komik adalah medium yang digunakan sebagai bahasa komunikasi visual bagi menarik perhatian pembaca. Ia lebih ringkas, banyak gambar dan mudah difahami," katanya.
Muhd. Azahar memberitahu, penerimaan kepada komik dapat dilihat melalui kewujudan Pekomik.
Katanya, Pekomik penting bagi memenuhi kehendak golongan karyawan atau penggiat komik dan peminat tempatan yang kian bertambah.
"Dengan Pekomik, golongan ini akan mendapat faedah sepenuhnya daripada usaha dan minat tinggi mereka terhadap komik.
"Pekomik juga bertujuan mengembangkan dan memartabatkan dunia komik negara melalui penganjuran pelbagai program serta aktiviti termasuk Anugerah Pekomik," katanya.