Sejak meninggalkan Creative Enterprise, penerbit majalah Gila-Gila kira-kira 15 tahun lalu, saya dan Ujang tidak pernah bertemu sehinggalah di Pesta Buku di PWTC Ahad lepas (28 Mac 2010).

Selama tempoh itu, Ujang mengalami jatuh bangun dalam kerjayanya sebagai seorang katunis terkenal. Setelah keluar dari Gila-Gila, beliau menyertai MOY yang dimiliki oleh Md.Othman Yusof yang menerbitkan majalah kartun UJANG. Kemudian keluar dari syarikat itu setelah berselisih faham dengan Md.Othman.

Ketika Ujang bersama MOY, nama UJANG yang digunakan oleh syarikat itu di kepala majalahnya telah didaftarkan oleh MOY. Akibatnya, melalui tindakan mahkamah, setelah keluar dari MOY, Ujang tidak boleh lagi menggunakan nama "Ujang" dalam lukisan kartunnya--yang merupakan nama pena beliau sendiri!

Dalam pertemuan di PWTC itu antara lain saya bertanya mengenai isu tersebut. Beliau menceritakan bagaimana beliau menerima puluhan saman dan injuksi mahkamah dari Md.Othman menghalang beliau menggunakan nama itu.

Saya tidak mahu mengulas sebarang masalah beliau sama ada dengan Creative Enterprise atau MOY mengenai hak cipta kerana ia adalah masalah Ujang dengan syarikat-syarikat itu.

Sementara saya akur mengenai hakcipta yang didaftar oleh syarikat, tetapi adalah sesuatu ketidakadilan sekiranya seseorang katunis dilarang menggunakan 'nama pena' sendiri.

Ujang menggunakan nama pena tersebut sejak 20 tahun lalu, lama sebelum beliau menyertai MOY. Saya rasa Md.Othman (sekarang Adun Umno Kukup, Johor), disamping menjaga kepentingan syarikatnya, tidak berhak menghalang seseorang kartunis menggunakan nama pena dalam karya atau pernerbitan lain.

Ia bertentangan dengan prinsip akta hakcipta sejagat.

Kes Ujang dalam konteks ini adalah masalah bersama yang patut mendapat perhatian setiap kartunis. Saya menggesa persatuan kartunis seperti Pekartun dan Pekomik membuat pendirian yang jelas.

Saya juga menggesa Ujang tidak hanya bersifat defensif menepis saman dari Md.Othman, tetapi sudah sampai masanya beliau melancarkan tindakan mahkamah terhadap bekas majikannya itu untuk mendapatkan kembali hak nama pena beliau. Saya percaya beliau mempunyai kes yang kuat dari segi undang-undang.

--Zunar