Sewaktu melihat sekumpulan kanak-kanak leka membelek komik manga yang sememangnya popular dari Jepun, tercetus di hati penulis untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kewujudan komik.
Meskipun penulis masih tercari-cari definisi komik itu sendiri, secara ilmiahnya inspirasi penciptaan komik dikatakan bermula pada 1986 menerusi ‘Comics and Sequential Art’, Will Eisner yang mendefinisikan komik sebagai susunan gambar dan kata-kata untuk menceritakan sesuatu.
Manakala melalui ‘Understanding Comics’, Scott McCloud mengiktiraf komik sebagai jajaran imej bergambar dan lain-lain dalam urutan sengaja yang bertujuan menyampaikan maklumat atau menghasilkan tindak balas estetika pada penonton.
Beberapa edisi komik di abad ke-19 berjaya dikumpulkan oleh Muzium Victoria dan Albert yang dimiliki Heinrich Hoffmanns menerusi ‘Struwwelpeter’ dan Wilhelm Buschs dalam ‘Max und Moritz’ serta di abad ke-20, koleksi komik milik Rodolphe Topffers dalam ‘L Histoire Veritable de Monsieur Crepin’ (Paris, 1837) dan ‘Herrn Piepmeyer’ oleh Adolf Schrodters (Frankfurt, 1848).
PEKOMIK sentiasa mengalu-alukan kemunculan bakat baru selain berusaha meningkatkan industri komik tempatan menerusi forum, lawatan, bual bicara dan menggalakkan ahlinya menyertai fiesta komik.
Di dalam negara sendiri, penyair Harun Aminurrashid (1952) memberikan definisi komik sebagai ‘cerita bergambar’ yang dirujuk kepada istilah kartun.
Justeru, definisi komik juga membawa pelbagai penafsiran, sekali gus membuktikan komik sebenarnya adalah medium bersifat sejagat merentasi semua lapisan masyarakat.
Penghasilan komik dan isi ceritanya mempunyai jalan cerita lebih serius, bersiri dan berkala bagi membolehkan orang ramai meneruskan pembacaan tanpa henti.
Ia mempunyai cerita tersendiri sama ada memaparkan kisah mengenai pendekar, penyiasatan, peperangan, kisah misteri dan mitos yang berkait dengan rakyat.
Penciptaan komik di Malaysia bermula seawal 1930-an apabila Mohd Ali Sanat (A.S) muncul dengan karikatur Wak Ketok dalam akhbar Utusan Zaman.
Pelukis komik ini turut menghasilkan Wak Keledek antara karikatur yang muncul sezaman dengan Wak Ketok sekali gus kedua-duanya menjadi siri komik perintis kepada perkembangan seni lukis komik di negara kita.
Nama seperti Raja Hamzah dan Saidin Yahya menerusi Badang dan Sultan Alauddin, Yusuf Idris bersama Othman Kangkong menerusi Kasih Adek Beradek II dan Musoh To’ Janggot, K Bali dan Nik Mahmood Idris yang menghasilkan komik berjudul Kasturi antara penghasil komik sekitar 1950-an.
Kedatangan Abdul Halim Teh dari Lenggong, Perak turut dianggap sebagai tokoh penting dalam sejarah komik Melayu di pertengahan 1950-an menerusi siri seperti Sumpah Ibu, Keris Berpuaka, Bidan Muda dan Tuah Adek.
Zaman perkembangan komik dilihat semakin meriah ketika memasuki era 1960-an apabila masyarakat mula memberi perhatian kepada kelahiran komik, sekali gus melahirkan ramai bakat baru dalam bidang ini serta persaingan antara syarikat penerbitan untuk menerbitkan lebih banyak komik di pasaran.
Lahirlah nama seperti Zar menerusi Jahanam, komik Inspector Rahman Bersabong Nyawa oleh Abd Razak, Alias Kulub, Osman Baru, Meor Shahriman Hassan, Sulaiman Awang, Hussein Saad, Mohammad Nor Khalid (Lat), Samudera Perwira, Shukor Lin, Rahman Bakree, Solihin Othman menerusi Putera Tun Kudin, Hambia E dan A Fauzi Yusof.
Tidak disangkal lagi, dunia komik bermula apabila cetakan akhbar diperkenalkan sekitar era 1930-an menerusi lukisan bergambar yang ketika itu digunakan sebagai kiasan dan isu seterusnya memikat pembaca serta menaikkan edaran akhbar.
Kekuatan itu digunakan sebagai alat komunikasi di dada akhbar seperti Utusan Kanak-Kanak, Warta Ahad, Warta Jenaka, Lembaga, Majlis dan Utusan Melayu yang memberi ruang kepada lukisan komik.
Meskipun dikategorikan sebagai ruangan kartun yang dilahirkan menerusi ruangan kecil, gabungan lukisan dan dialog berjaya melahirkan satu perkembangan siri cerita bergambar yang kini dikenali sebagai komik.
Perkembangan komik pastinya sudah melalui pelbagai era membolehkan masyarakat masa kini mendapatkan siri komik yang dibukukan, lebih tersusun, berwarna, mempunyai muka depan dan bermuka surat tebal berbanding di zaman dulu kala.
Bagaimanapun, komik komersial turut tidak lekang berdepan pelbagai konflik termasuk persaingan, penolakan malah diskriminasi di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Tambahan pula tidak semua pihak menganggap komik kini mempunyai nilai sentimental, apatah lagi dengan kewujudan pelbagai komik versi antarabangsa, komik tempatan dilihat semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.
Konflik demi konflik terpaksa dihadapi komik tempatan bukan lagi perkara baru, biarpun komik seperti Anak-Anak Sidek, Aku, Kau Malaysia, Pahlawan Mimpi dan Liga Pendekar pernah mewarnai pasaran dengan sambutan hangat.
Pensyarah lukisan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Azhar Abdullah berkata, kesuraman dunia komik tempatan dipengaruhi arus kemunculan komik versi antarabangsa yang dilihat lebih mudah menawan perhatian masyarakat moden.
Menurutnya, pelukis komik pada hari ini menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan untuk meneruskan penghasilan sebuah komik.
“Kesukaran itu bukan saja berpunca daripada pelukis komik, tetapi juga daripada penerbit dan pengedar yang tidak yakin dengan jualan komik tempatan.
“Kebanyakan kedai buku terkemuka dalam negara lebih mengutamakan komik versi antarabangsa dan dilihat seperti menganaktirikan komik tempatan kerana diletakkan di barisan belakang rak jualan.
“Kekurangan beginilah menutup rezeki pelukis komik, sekali gus menghalang perkembangan komik tempatan di zaman ini,” katanya yang banyak menghasilkan Komik-M di bawah PTS Publication.
Dia yang serius dalam bidang komik sejak 2001 melahirkan rasa kesalnya kerana banyak peluang yang sepatutnya terbuka luas kepada pelukis dan penulis komik di Malaysia hanya dilihat sepi.
“Pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh pelukis komik bersiri. Pelukis, idea dan bahan penceritaan wujud, tetapi kekurangan penerbit dan pemasaran menghalang rezeki anak muda tempatan.
“Persaingan pula semakin meluas apabila komik antarabangsa lebih banyak diperkenalkan daripada menaikkan jenama komik tempatan. Lihat saja lambakan komik manga dari Jepun dan komik adiwira dari negara Barat yang tidak mempunyai unsur patriotik negara ini.
“Selain itu, tiada penerbit yang sanggup membayar komik ‘realism’ dengan menubuhkan kru komik terdiri daripada pelukis, penulis, pewarna, pelakar dakwat, grafik dan editor.
“Bakat mereka ini lebih dihargai di beberapa negara seperti Hong Kong, Jepun dan Amerika Syarikat kerana negara berkenaan menghasilkan komik mingguan dan bulanan,” kata mantan Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PEKOMIK) 2006 - 2012 ini.
PEKOMIK gesa beri peluang kepada pengkarya
Presiden PEKOMIK (2012 hingga sekarang), Faizal Mukhtar, 33, turut berharap peluang yang meluas diberikan kepada generasi baru dan lama kepada pelukis dan penulis komik tempatan.
“Pelukis komik kini tidak saja terarah kepada buku dan majalah, namun kemodenan membolehkan komik dihasilkan juga di dalam bentuk digital dan animasi.
“Di sini kerajaan perlu memainkan peranan untuk membolehkan penulis komik memperluaskan bakat, meraih populariti dan keuntungan sama ada menerusi pertandingan mencipta komik bersiri atau komik majalah atau menyediakan satu bentuk dana yang dapat membantu pelukis terbabit seperti mana yang pernah disediakan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
“Lambakan komik luar negara menyebabkan identiti komik tempatan terjejas, selain serangan digital disalah guna oleh perompak dan plagiat digital yang mahu menyenangkan diri sendiri hingga menyebabkan pelukis komik dan kartun mengalami kerugian,” katanya yang mengalu-alukan bakat muda dari sekolah, pengajian tinggi dan orang awam untuk menyertai PEKOMIK.