1 SYAWAL 1435
28 JULAI 2014

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang dimuliakan Muslimin dan muslimat.

Semua ahli-ahli, penggiat, peminat dan keluarga komik Malaysia sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Aidilfitri.


أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ أكْبَرُ ﭐللهُ
أكْبَرُ ﭐللهُ وَ ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
وَللهِ ﭐلْحَمْدُ أكْبَرُ ﭐللهُ
كَثِيْرًا لِلّهِ ﭐلْحَمْدُ وَ كَبِيْرًا أكْبَرُ ﭐللهُ
وَ سُبْحَانَ ﭐللهِ بُكْرَة ً وَ أصِيْلا ً
ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
وَ لاَ نَعْبُدُ
ﺇلاَّ ايّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
وَحْدَه ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
صَدَقَ وَعْدَه
وَنََصَرَ عَبْدَه
وَ اَعَزَّ جُنْدَهُ وَ هَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَه
أكْبَرُ ﭐللهُ وَ ﻵ ﺇلٰهَ ﺇلاَّ ﭐللهُ
وَللهِ ﭐلْحَمْدُ أكْبَرُ ﭐللهُ


Pemula bicara, saya dengan rasa rendah diri ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita semua seluruh muslimin dan muslimat telah selesai melaksanakan ibadah puasa selama sebulan dengan menahan rasa lapar, dahaga serta melatih diri dalam menjadi insan yang tawaduk dengan memperbanyakkan muhabasah diri dalam meningkatkan keimanan, keinsafan dan ketakwaan kepada yang Maha Esa.

Tatkala tibanya fajar Syawal yang mulia ini, kita semua seluruh umat Islam  seharusnya meraikannya dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan seperti yang disifatkan oleh Rasulullah Nabi Junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W

Diharapkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini benar-benar membawa makna yang hakiki buat diri kita semua, terutamanya bagi mereka yang dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan sempurna.


Keluarga PeKOMIK yang dikasihi sekalian,

Kita wajar bersyukur kerana dapat merayakan saat kejayaan ini dalam suasana aman dan damai tanpa adanya peperangan, kelaparan, ketakutan dan kesedihan yang ekstrem. Keadaan ini amat berbeza sekali dengan nasib sesetengah umat Islam di negara lain seperti saudara-saudara kita di Semenanjung Gaza dan Palestin. Mereka menyambut Hari Raya ini dalam keadaan serba kekurangan dan cukup mencabar. Mereka berhari raya dalam ketakutan kerana peperangan. Ada pula saudara-saudara kita yang sedang dalam kesedihan kerana ditimpa musibah, diulit kemiskinan, dilanda bencana alam dan tragedi serta nahas malapetaka seperti insiden MH17 dan MH370.

Apa pun yang berlaku, itu adalah ketentuan Allah S.W.T dan yakinlah bahawa ianya terjadi di atas sebab dan kemahuan-Nya.

Suasana Aidilfitri pada tahun ini di negara kita di sambut serba sederhana. Meskipun demikian, saya yakin semua akan berhari raya dalam suasana gembira, seronok dan ceria. Alhamdulillah, rasanya tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan berhari raya dalam keadaan ketakutan. Tidak ada rakyat Malaysia yang diberitakan terpaksa mengemis-ngemis untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya. Juga tidak kedengaran rakyat Malaysia yang tidak dapat merayakan hari bertuah ini kerana ketiadaan perbelanjaan dan wang ringgit yang cukup. Boleh dikatakan kebanyakan kita adalah berkemampuan.

Oleh kerana itu, kita patut sekali lagi bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana mengurniakan bumi kita ini dengan segala kemakmuran, kekayaan alam semula jadi dan keamanan penduduknya. Justeru, kita perlu mengekalkan suasana yang sedia ada. Semua ini penting bagi menjamin negara kita terus makmur dan mendapat keredaan Allah S.W.T

Walaupun begitu dalam kemeriahan kita berhari raya, usah kita lupa nasib yang menimpa sesetengah umat Islam di negara lain yang saya katakan tadi. Bayangkan betapa sengsaranya hidup mereka dengan kepayahan makanan dan kesulitan sosiopolitik serta ekonomi seperti di negara-negara Asia Barat yang bergolak seperti Mesir, Syria dan Palestin di semenanjung Gaza yang tidak kunjung akhirnya, ketakutan pasca peperangan seperti di negara Iraq dan Afghanistan, kengerian terhadap bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan gempa bumi dan tragedi serta nahas pesawat MH17 dan MH370 di atas ujian yang Allah S.W.T turunkan kepada mereka. Angkara dan angka korbannya bukan sedikit. Simpati boleh ditunjukkan namun nasib mereka, hanya mereka yang tahu dan rasai.


Keluarga PeKOMIK yang dihormati sekalian,

Oleh sebab itu, hari ini adalah hari yang paling baik untuk kita menilai prestasi kita dalam menunaikan amanah Allah S.W.T. Amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaik-baiknya. Ini adalah satu amanah yang perlu diperingatkan semula.

Marilah kita pertingkatkan keazaman dan ikrar untuk menyusun perancangan strategik dan melaksanakannya bagi meningkatkan maruah dan kredibiliti umat terutamanya menerusi saluran persatuan kita yang kita cintai ini. Dalam kesatuan ini kita berpadu. Matlamatnya, adalah untuk memastikan agar Persatuan Penggiat Komik Malaysia terus menjadi angkatan ampuh yang bertanggungjawab, berkredibiliti dan berwawasan serta memiliki sahsiah oknum yang boleh dipercayai ramai.

Saya dengan rasa bangga dan terharu mahu memuji serta berterima kasih kepada semua rakan strategik dan saudara-saudara seperjuangan lain seperti ANIMAS, COMICORE, COMICHAT, CESAGA, REBEL INK, GRYNTEE, SKETCHES, CASPIAN TECHNOLOGY, FORESIGHT, RUMBIA, TUPAI TV, SAYS YOUTH SOCIETY, YADIM, UMK, USM, UNIKL, UITM, KARANGKRAF, PTS, DBP, CREATIVE ENTERPRISE, MOY, ART SQUARE, LEJEN PRESS dan ramai lagi termasuk media cetak dan elektronik serta badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah sama-sama menyokong PeKOMIK selama ini.

Umat yang bermaruah adalah umat yang dapat menjulang harga diri. Umat yang mempunyai identiti diri. Cara hidupnya dan gerak kerjanya menjadi ikutan dan contoh kepada umat lain. Yang membuatkan umat lain merasa hormat dan segan. Urus tadbirnya adil dan mengasihi sesama manusia. Kebersamaan serta kesatuannya utuh dan teguh.

Justeru untuk kemakmuran bumi ini kita perlu menjadi peneraju dalam apa saja bidang, terutamanya dalam jurusan komik dan kartun yang kita angkat martabatnya sejak dari dulu lagi. Lebih-lebih lagi dalam bidang kreatif dan media seni yang kita tetap terus perjuangkan ini. Melalui usaha murni kita bersama, mari kita rapatkan saf dalam memaparkan moraliti dan unsur-unsur positif berpengajaran sesama insan menerusi karya-karya komik dan kartun kita semua. Ini adalah pra-syarat penting untuk menjadi umat berkredibliti yang bertanggungjawab dan bermaruah dalam meneruskan perjuangan kita sebagai generasi dinamik lagi karismatik.


Keluarga PeKOMIK yang dirahmati sekalian,

Lazimnya, umat yang bertanggungjawab dan bermaruah adalah umat yang maju. Untuk merealisasikannya, kita perlu menjadi umat yang maju dalam aspek material dan maju dalam aspek spiritual. Ini boleh dilakukan dengan ikhtiar kita mempertingkatkan penguasaan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan, pelbagai pencapaian dapat dikecapi. Baik dalam bidang komik dan kartun yang diusahakan ataupun lebih daripada itu. Ini terbukti kerana ada di antara teman-teman kita sudah pun berjaya mengecapi tahap dan taraf tersebut.

Dan demi mencapai matlamat tersebut, PeKOMIK telah merangka rancangan rapi dan prinsipal-prinsipal tersusun bagi menggariskan dasar baharu untuk memantapkan lagi persatuan kita ini. Semua manifesto tersebut telah dan akan dilaksanakan peringkat demi peringkat supaya dapat terus memacu kecemerlangan persatuan.

Akhirul kalam, saya sebagai teras kepimpinan persatuan yang kita sayangi ini mewakili semua ahli jawatankuasa yang telah dipilih dan dilantik ingin menyusun sepuluh jari tanda kemaafan dan keampunan di atas segala salah silap dan kekhilafan yang pernah dilakukan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yang lemah itu daripada saya sendiri dan yang sempurna itu hanyalah milik Allah S.W.T, semutlaknya.


Salam 1 Syawal kepada semua umat serta Angkatan, Ahli-ahli gabungan, Penggiat, Peminat dan keluarga komik seluruh Malaysia dan di seluruh dunia.


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.



Semoga PeKOMIK terus maju mara memacu arus komik Malaysia ”


Yang Berkhidmat,
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
Presiden PeKOMIK   
Persatuan Penggiat Komik Malaysia