Berikut adalah laporan rasmi aktiviti dan agenda PEKOMIK untuk Suku Pertama Tahun 2014 (JANUARI - MAC):

1. Mesyuarat Tahunan AJK Pekomik, 8/2/2014
Semua ahli jawatankuasa Pekomik telah berkumpul pada 8/2/14 di Georgertown Kopitiam, Wangsa Walk Mall KL untuk mengatur perancangan persatuan sepanjang tahun 2014. Majoriti AJK hadir dan ahli-ahli jemputan yang lain juga berminat untuk tampil aktif membantu menaikkan imej industri komik tanah air dalam perjumpaan selama lebih kurang 3 jam ini.

Agenda Mesyuarat:
1. Perutusan dan amanat Presiden
2. Sesi 'ice-breaking'
3. Progres dan kemaskini semasa
4. Perancangan dan pembentangan aktiviti sepanjang 2014
5. Perkara berbangkit dan lain-lain

2. Liputan media, akhbar Harian Metro, 31/1/2014
Wartawan Siti Salmiah A. Hamid telah mewawancara Presiden Faizal Mukhtar dan Mantan Presiden Azhar Abdullah dengan judul 'Terpinggir di Kedai Buku' dalam artikel yang disiarkan pada 31 Januari, 2014.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terpinggirdikedaibuku/Article/index_html

3. Projek Komik Kompilasi, 4/2/2014
Hasil dari perbincangan antara Cesaga & Pekomik, Pekomik telah ditawarkan lima kuota slot untuk menampilkan karya-karya bakat muda baru Pekomik dalam sebuah projek kompilasi komik. Projek komik tersebut diuruskan oleh Danial selaku Pengarah Cesaga. Projek kompilasi komik ini dijangka akan mendapat dana dari badan berkanun kerajaan dan sokongan dari pelbagai media arus perdana.

4. Usahasama Pekomik & Foresight, 4/2/2013
Pengarah Sekolah Bakat/Foresight, Ahmad Naim Jaafar telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Pekomik untuk satu projek sinergi baru yang tertumpu fokusnya kepada bakat-bakay baru pengkaryaan komik dan kartun yang bermula dari peringkat sekolah.

Rujukan: http://www.foresighteducation.my | http://sekolahbakat.weebly.com

5. Pekomik ke Majlis Penyampaian Hadiah Gangsa Anugerah Antarabangsa Manga kali ke-7, 22/2/2014
Pekomik telah dijemput menghadirkan diri ke Majlis Penyampaian Hadiah Gangsa Anugerah Antarabangsa Manga kali ke-7 di Kinokuniya, Suria KLCC pada 22/2/2014. Ahli-ahli :-) Pekomik yang hadir berkesempatan untuk beramah mesra dengan pemenang anugerah yang mengharumkan nama Malaysia iaitu Zint serta wakil-wakil dari kedutaan Jepun ke Malaysia dan para hadirin jemputan khas terutamanya dari Art Square Group.

6. Perasmian PekomikTV (saluran YouTube), 14/3/2014
Pada tarikh yag di atas, Pekomik telah melancarkan PekomikTV.
Ia diwujudkan berdasarkan misi Pekomik untuk membawa dan mendedahkan bakat-bakat baru dan profesional industri dari seluruh tanah air ke medan media baru secara lebih meluas. Ianya akan dijadikan platfrom kepada para penggiat komik tempatan menaik-turun dan berkongsi video-video yang berkaitan dengan dunia komik seperti dokumentari, tutorial dalam penghasilan komik, pengiklanan komik dan pelbagai lagi tujuan lain. Ia juga merupakan salah satu usaha program penjenamaan semula persatuan dengan bantuan dan sokongan padu dari ahli-ahli PeKOMIK.

URL Channel PekomikTV: http://www.youtube.com/channel/UCGxjSrlTM9uQ43uCUFjEuzg

7. Sesi Ramah Mesra dengan trio kartunis 'The Muslim Show'
Pekomik telah menerima undangan daripada PTS/Komik-M untuk bersama-sama dalam satu sesi ramah mesra dengan trio kartunis 'The Muslim Show' pada 20/3/2014 di Bangi Kopitiam, Dolomite Business Centre, Gombak.

8. Mesyuarat untuk ICC2014 (Universiti Malaysia Kelantan & Karangkraf)
Pekomik telah dijemput sebagai panel rasmi untuk pelan perancangan induk awal bagi International Conference on Cyberlogy 2014 pada 28/2/2014 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Ianya akan diadakan pada 18-22 Mei, 2014 di UMK Cawangan Bachok, Kelatan. Laporan rasmi akan menyusul.

Laman rasmi: http://internationalconferencecyberology.wordpress.com

9. Jemputan ke Karnival Kakitun 2014
Wakil-wakil daripada Pekomik telah dijemput ke Kellie's Castle, Jalan Batu Gajah, Perak untuk Karnival Kakitun yang berlangsung pada 22 hingga 30 Mac, 2014. Ianya turut dihadiri oleh Penaung Pekomik Datuk Lat yang diraikan sempena 50 tahun berkarier dalam dunia kartun dan ramai lagi barisan kartunis serta pelukis komik ternama lain seperti Rossem dan Kerengge. Rakan strategik Pekomik iaitu ANIMAS juga turut hadir.