Teks Ucapan rasmi untuk pekelilingan umum

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN PENGGIAT KOMIK MALAYSIA
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
EXCO PIMPINAN (PENGGAL 2013-2015)
SUBANG JAYA, SELANGOR DARUL EHSAN
13 JANUARI 2015

Yang Dihormati Sidang PeKOMIK,
Pengkarya dan Penerbit, 
Semua Ahli-ahli dan Anggota Jawatankuasa,
Penggiat dan peminat komik Malaysia.

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan Salam Semangat 2015.

Alhamdullilah. Mari kita sama-sama menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Rabbul Izzati yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Kita kini sudah pun memasuki ke sebuah lembaran tahun baru 2015. Seluruh keluarga Pekomik di seluruh negara bakal menghadapi 365 hari yang mendatang dengan penuh cabaran dan debaran.

Sebagai sebuah organisasi yang bergerak di atas landas potensi kreativiti serta inovasi, usaha-usaha dalam bentuk karya komik dan kartun melalui persatuan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dalam bidang dan pengalaman ternyata bukan sekadar memenuhi keperluan persatuan tetapi lebih daripada itu: Bagi menyusun strategi dan agenda persatuan lebih mantap, mengangkat martabat komik Malaysia ke aras lebih tinggi seperti ke peringkat antarabangsa serta mencari dan mewujudkan peluang-peluang dan rangkaian niaga, keusahawanan dan prospek serta potensi yang mendatangkan manfaat kepada ahli-ahlinya.

Sepertimana yang anda sedia maklum apabila tiba sahaja tahun baru, maka kita sekali lagi diberikan peluang serta ruang mencipta azam dan iltizam untuk terus berjuang di muka bumi Tuhan yang penuh Rahmat dan Berkat ini. Syukur di atas segala kurnia.  

Menghampiri sepenggal yakni dua tahun sejak saya diberi mandat dan amanah sebagai Presiden kepada pertubuhan yang amat kita cintai ini, pelbagai aktiviti, program dan anjuran acara telah dilaksanakan dengan objektif mendekati semula para penggiat, meramaikan jumlah ahli-ahli baru dalam persatuan dan membina rangkaian strategik dengan entiti dan badan-badan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, institusi-institusi akademik dan pusat pengajian tinggi serta persatuan-persatuan lain yang mempunyai kepentingan dan matlamat bersama. Program-program yang dijalankan oleh Pekomik menyentuh inisiatif-inisiatif khusus bersifat sosial dan korporat yang merangkumi semua peringkat yang terdiri daripada profesional-profesional industri, para sarjana-sarjana akademik sehinggalah kepada mereka yang masih baru dan ‘segar’ dalam lapangan komik dan kartun di negara ini. Adalah menjadi fokus utama di bawah kempimpinan sulung saya bagi Penggal 2013-2015 ini untuk merapatkan lagi hubungan baik sesama kita di dalam persatuan.

Saya telah menggerak dan melaksanakan pendekatan yang berikut supaya perubahan secara menyeluruh dapat dilakukan dengan unjuran secara berperingkat. Antara aturan manifesto urus tadbir saya jelas mahu melihat apakah jalan penyelesaian bagi isu-isu sedia ada atau berbangkit dan menyusun ‘masterplan’ jangka masa panjang untuk manfaat semua ahli-ahli, baik melalui online seperti di Facebook ataupun secara bersemuka melalui acara-acara dan program-program tertentu yang dianjurkan.

Comic Fiesta 2014 (27-28hb. Disember), Pekan Kartun 2014 (15hb. November), Festival Sastera Kanak-Kanak 2014 (30hb. Oktober-2hb. November), GREAT Cyberjaya 2014 (19-20hb. September), Comic Art Festival KL 2014 (7-8hb. Jun), Cabaran Melukis Komik 24 Jam (31hb. Mei-1hb. Jun) dan Karnival Kakitun (22-30hb. Mac) merupakan di antara beberapa acara serta program yang telah mendapat keterlibatan secara langsung daripada Pekomik.

Jelas di sini fokus saya sebagai Presiden setelah menyambung gagasan perjuangan Mantan Presiden yang kita hormati, Tuan Azhar Abdullah adalah berdasarkan niat dan keperluan untuk melibatkan dan mengaktifkan serta mewujudkan peluang demi peluang demi memberi impak berterusan kepada penggiat-penggiat komik dan kartun di negara ini yang dirasakan amat bertepatan dengan agenda bersepadu persatuan kita.

Penggiat-penggiat komik dan kartun di Malaysia mempunyai pelbagai pendapat, ideologi, falsafah, persepsi, tanggapan, kecenderungan serta latar belakang pengalaman yang berbeza-beza berdasarkan kecenderungan masing-masing. Saya menghormati kesemuanya. Walaubagaimana pun, apa yang penting adalah persefahaman umum bahawa perlunya kesedaran untuk sentiasa saling bekerjasama membina kebersamaan dan persefahaman dalam persatuan. Ianya lebih baik untuk diri kita dan generasi yang akan datang. Bukan sekadar mencari dan mencipta retorik, melahirkan kritikan tidak berasas dan kurang membina serta melontarkan hujah dan bahas picisan sepanjang masa. Itu bukan cara kita. Itu bukan budaya kita. Itu bukan sahsiah kita di dalam persatuan ini.

Jika diperhalusi, kebelakangan ini banyak persoalan telah menjadi isu dan bahan wacana di kalangan penggiat komik sehinggakan menimbulkan pergeseran dan konflik secara terang-terangan atau berselindung. Ini mendorong saya bergandingan dengan ahli jawatankuasa dalam persatuan untuk mendalami dan mengkaji identiti-dentiti Pekomik. Lalu tercetus satu persoalan asas: Identiti yang bagaimanakah harus kita bawa dan perjuangkan untuk mengangkat martabat serta maruah komik tanahair demi menongkah arus dan gelombang serba mencabar dalam kepesatan industri komik antarabangsa yang jauh lebih maju dan terdahulu daripada kita?

Oleh itu, teringat saya akan pesan seorang cendekiawan ulung:
“Jangan gentar jadi orang berbangsa”.

Dalam konteks kita sebagai sekumpulan karyawan yang rata-ratanya masih muda dan bertenaga, jangan malu atau segan jadi orang yang berpegang pada prinsip. Percaya pada kebolehan, kemahiran dan bakat sendiri. Sama ada anda seorang pelukis, penulis, peminat, pengumpul, pensyarah, pemerhati, penganalisa dan penerbit komik – satukan matlamat, tetapkan semangat. Tidak perlu rasa pesimis dan terlalu kritikal bila bercakap tentang halatuju dan masa depan komik dan kartun di Malaysia. Dan yang paling utama, tidak perlu berbalah sesama kita kerana perjuangan ini adalah tentang kita dan untuk kita. Kalau bukan diri kita sendiri yang membela dan memperjuangkannya, siapa lagi yang mahu kita harapkan?

Tapi jadi orang berjiwa dan bersemangat adalah besar tanggungjawabnya. Bukan setakat mempertahankan dan mengangkat perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata. Orang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing. Kita sebagai penggiat dalam persatuan wajib buktikan pada mereka yang meragui kemampuan kita, bahawa kita memilih harapan dan masa depan. Kita mahu berjuang dengan semangat, berkarya dengan ilmu dan bersatu pada setiap masa. Jika itu langgam kita, insyaAllah, Pekomik akan mendokong etos komik Malaysia yang benar-benar sejati dan beridentiti!

Kepada seluruh dan semua ahli-ahli Pekomik Malaysia, sekali lagi ucapan terima kasih saya zahirkan. Saya berharap anda dapat menyokong dan turut serta dan bersama kami dengan mengambil bahagian dalam acara, aktiviti dan inisiatif anjuran Pekomik secara konsisten. Ini adalah medan khas bagi anda semua bersatu dan menyerlah. Oleh itu semakin giat penyertaan anda, semakin baik reputasi dan portfolio persatuan kita di mata masyarakat.

Saya mengalu-alukan semua cadangan, pendapat dan saranan. Sila tawarkan khidmat dan bantuan untuk penambahbaikan. Maklum balas konstruktif amat dihargai dan akan sentiasa diterima.

Oleh yang demikian, saya akan terus membawa Pekomik ke arah ‘solution-based effort’ yang menitik-beratkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mengkritik dan mendesak tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan.

Pencapaian kita adalah pencapaian anda semua. Kejayaan kita adalah kejayaan anda semua. Memang benar, akan terlihat dan tergambar corak kepimpinan sekarang yang berbeza dengan kepimpinan terdahulu. Namun saya berpendapat dan percaya, kita harus rasional untuk relevan.

InsyaAllah. Sekiranya kita sama-sama berjuang dan bersepakat serta bersemangat untuk bersatu, kita pasti dapat membawa lebih banyak lagi idea, penyelesaian dan kejayaan  untuk PeKOMIK.

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Genggam bara api biar sampai jadi abu.”

Saya, MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR, Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia ingin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru bagi tahun masihi 2015. Semoga segala yang kita hajatkan dan usahakan akan terus menemui punca serta teras kejayaan. Didoakan semua dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan kekuatan berpanjangan untuk terus berkarya serta bangun dan bangkit menjadi PeKOMIK yang berjaya dengan usaha masing-masing untuk hari ini, esok dan selama-lamanya.   

Oleh itu sebelum saya menamatkan perutusan ini, dengan rasa rendah diri saya ingin menjemput semua untuk hadir ke HARI PEKOMIK 2015 yang julung-julung kalinya diadakan pada butiran yang berikut:

TARIKH: 30, 31 Januari hingga 1 Februari, 2015
MASA: 10 pagi hingga 7 petang
LOKASI: Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.











Bersempena dengan itu juga, pemilihan melalui Mesyuarat Agung (AGM) akan diadakan di samping satu forum khas berlangsung sejam sebelum AGM pada 31 JANUARI 2015 dengan butiran dan acara-acara menarik seperti booth jualan, pertandingan cosplay dan lain-lain lagi akan diumumkan tidak lama lagi.


“ Semoga PeKOMIK terus maju mara memacu arus komik Malaysia ”


Yang Berkhidmat,
MOHD FAIZAL BIN MUKHTAR
Presiden PeKOMIK    
Persatuan Penggiat Komik Malaysia